CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Isnin, 31 Ogos 2009

Menutup Aurat Lindungi Wanita Islam

TIDAK dapat dinafikan, wanita pada hari ini telah memberikan sumbangan yang besar kepada kemajuan dan kemakmuran ekonomi negara. Dewasa ini terdapat sekian ramai wanita Islam yang bekerja sama ada di sektor awam mahu pun swasta. Bilangan ini semakin hari semakin bertambah dan tentunya mengundang pelbagai persoalan terutama dari aspek berpakaian. Adakah sesuai atau tidak pakaian yang dipakai oleh wanita berkenaan semasa bekerja iaitu dari sudut moral dan lebih-lebih lagi dari sudut agama.

Dalam hubungan ini, Islam tidak mensyaratkan jenis, bentuk serta potongan pakaian yang tertentu yang seharusnya dipakai oleh seseorang wanita itu.


Apa yang dikehendaki oleh agama ialah menutup aurat dan menjaga kesopanan serta kebersihan ketika bekerja. Untuk itu, wanita-wanita yang sedar akan tanggungjawabnya sebagai hamba Allah sudah semestinya mereka merasa terikat dengan peraturan dan hukum-hukum syarak dan sentiasa sedaya-upaya pula melakukan sesuatu yang diredhai Allah s.w.t.

Fenomena yang wujud pada masa ini iaitu pelbagai bentuk fesyen yang kebanyakannya masih mendedahkan aurat adalah berpunca daripada tiadanya kesedaran atau kefahaman terhadap peraturan pakaian yang sebenar menurut Islam. Oleh sebab itulah masih terdapat sebahagian umat Islam yang tidak faham tentang pengertian aurat itu sendiri. Hakikatnya, di dalam Islam tidak ada satu peraturan yang tertentu dalam menentukan jenis pakaian, Ia telah menetapkan bahawa aurat wanita ialah keseluruhan tubuh badannya kecuali bahagian muka dan dua tapak tangan hingga pergelangannya yang wajib ditutup.

Secara umumnya dapatlah dikatakan bahawa perubahan fesyen pakaian wanita sekarang begitu berkembang luas. Perubahan ini mempengaruhi apa juga keadaan baik dalam keadaan bekerja atau pun tidak. Walaubagaimanapun, harus diingat, Islam itu bukan agama yang sempit dan menyusahkan umatnya. Islam juga tidak menentang pemodenan tetapi biarlah kemodenan itu menjurus ke arah yang betul dan tidak terkeluar dari lunas-lunas yang telah ditentukan oleh hukum syarak.

Terdapat sebilangan orang merasakan tidak ‘moden’ atau ‘up to date’ apabila mereka tidak mengikuti perkembangan fesyen. Pendapat ini sebenarnya tidak salah sekiranya dia berpendirian untuk menjaga ketentuan hukum syarak yang tidak boleh diabaikannya. Namun apa yang menjadi masalah sekarang ialah terdapat mereka yang mengikuti perubahan fesyen hanya memenuhi keinginannya semata-mata tanpa memahami batas-batas aurat dalam Islam.

Dalam menjaga kesejahteraan umat, Islam telah meletakkan beberapa garis panduan tentang etika berpakaian yang mesti dipatuhi. Di antara garis panduan itu ialah mengharamkan pendedahan aurat di kalangan wanita Islam di hadapan orang-orang yang bukan muhrimnya. Penutupan aurat menurut pandangan Islam adalah berdasarkan syarat-syarat berikut :

Menutup seluruh badan kecuali muka dan kedua-dua belah tangan.

Islam telah menentukan batas-batas yang harus (boleh) dibuka iaitu muka dan dua tapak tangan, manakala bahagian-bahagian lainnya pula wajib ditutup. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
“Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Amat Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan jangan mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah. Wahai orang-orang yang beriman supaya kamu berjaya.” (Surah An-Nur : 30 – 31)

Berpakaian yang tidak membayangkan kulit dan bentuk tubuh.

Antara tujuan berpakaian menurut Islam ialah untuk menutup atau melindungi bahagian-bahagian tertentu pada badan. Tetapi sekiranya wanita tersebut memakai pakaian yang nipis atau jarang sehingga boleh dilihat warna kulitnya dan aurat yang sepatutnya ditutup, maka ini bererti pakaian yang dipakainya sudah tidak berfungsi lagi. Wanita yang berpakaian sebegini disifatkan oleh Rasulullah s.a.w. sebagai wanita berpakaian tetapi berbogel. Mereka bukan sahaja dilaknat oleh Allah s.w.t. tetapi juga tidak berpeluang untuk mencium bau syurga. Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud :
“Akan terdapat pada akhir-akhir umatku (kaum wanita) yang berpakaian menutup badan dan telanjang (yang berpakaian nipis atau membayangkan kulit badan/bentuknya), atas kepala mereka, laknatilah mereka sesungguhnya mereka golongan yang terlaknat.”

? Tidak memakai pakaian yang ketat.

Antara tujuan menutup aurat ialah untuk mengelak dari berlakunya fitnah. Sekiranya wanita itu berpakaian ketat sehingga jelas kelihatan potongan badan dan bahagian-bahagian anggota tubuh badannya maka keadaan ini boleh menimbulkan fitnah yang berakhir dengan pelbagai bentuk jenayah yang dikutuk oleh agama.

Usamah Bin Zaid menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. telah menerima hadiah sejenis kain Qibtiah yang tebal daripada seorang yang bernama Dahiyah Al-Kalbi dan Rasulullah menghadiahkan pula kain tersebut kepada beliau (Usamah) untuk dibuat pakaian, tetapi Usamah pula memberikan kain tersebut kepada isterinya. Suatu hari Rasulullah bertanya Usamah, “Kenapa engkau tidak memakai kain Qibtiah itu?” Usamah menjawab, “Aku telah berikannya kepada isteriku.” Lalu Rasulullah berkata kepada Usamah : “Suruhlah isterimu mengalaskan kain tersebut dengan kain yang lain di bawahnya kerana aku bimbang sekiranya kain tersebut tidak dialas, maka akan kelihatanlah besar kecil tulang-tulang badan isterimu (bentuk tubuh badan isterimu).”

Tidak memakai bauan yang boleh menarik perhatian lelaki.

Abu Musa al-Asy’ari r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :
“Sesiapa jua wanita yang memakai minyak wangi kemudian melintasi khalayak ramai dengan tujuan supaya dihidu bau wangi yang dipakainya, maka dia dikira berzina.”

Zainab al-Thaqafiah pula menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud :
“Jika salah seorang daripada kamu (kaum wanita) keluar untuk beribadat di masjid, janganlah memakai bau-bauan.”

Jika difahami maksud hadis tersebut, kaum wanita yang hendak ke masjid pun dilarang memakai bau-bauan apatahlagi bagi mereka yang keluar bersiar-siar, ke tempat kerja dan sebagainya. Sudah tentu kesalahannya di sisi agama lebih besar.

Pakaian yang tidak menyerupai pakaian lelaki.

Menurut hadis-hadis sahih dari Rasulullah s.a.w., dapat difahami bahawa Allah s.w.t. melaknat wanita yang meniru pakaian lelaki dan lelaki yang meniru pakaian wanita. Abu Hurairah r.a. telah meriwayatkan : “Rasulullah telah melaknat orang-orang lelaki yang berpakaian perempuan dan orang-orang perempuan yang berpakaian lelaki.”

Ini bersesuaian dengan sifat tabi’i seorang wanita di mana Islam menyarankan agar kaum wanita memakai pakaian-pakaian yang sesuai dengan sifat dan kejadian mereka, lemah-lembut dan bersopan-santun.

Secara kesimpulannya, Islam mewajibkan ke atas setiap wanita supaya memakai pakaian yang menutup aurat iaitu menutup seluruh badannya kecuali muka dan dua belah tangan. Mereka juga hendaklah memilih jenis-jenis kain yang tidak membayangkan warna kulit dan tidak juga memperlihatkan bentuk tubuh badan. Begitu juga dilarang ke atas mereka untuk menghiasi pakaiannya dengan hiasan-hiasan dan bau-bauan yang boleh mempesona atau menarik perhatian ramai dan menimbulkan fitnah.

Sesungguhnya, Islam tidak menentukan fesyen dan bentuk pakaian yang mesti dipakai oleh seseorang wanita itu sama ada pada masa bekerja atau pun tidak. Apa yang penting ialah ianya tidak berlawanan dengan batas-batas yang telah ditentukan oleh syarak.

SUMBER : Artikel ditulis oleh : Ahmad Tarmizi Zakaria

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

JALINAN UKHUWAH


ShoutMix chat widget