CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Rabu, 26 Ogos 2009

PAS tolak gesaan Majlis Peguam untuk hapus hukum sebat

Gesaan Majlis Peguam kepada pihak kerajaan untuk menghapuskan hukuman sebat bagi apa jua kesalahan jenayah hendaklah ditolak. Hujah yang diberikan oleh Majlis Peguam untuk menyokong gesaannya itu dianggap tidak tepat dan tidak kukuh. Setiap hukuman yang telah ditetapkan dalam sistem perundangan negara buat masa ini adalah berasas dan ia merupakan satu hukuman bagi mengajar pesalah dan rakyat di negara ini.


Dalam Islam, hukuman yang hendak dilaksanakan mestilah untuk mendidik dan memberi kesedaran kepada manusia supaya tidak mengulangi jenayah-jenayah yang terkutuk sama ada oleh penjenayah mahupun rakyat umumnya.

Malah, hukuman sebat ini disebut oleh Allah SWT dalam Al-Qur’an serta hadith-hadith yang muktabar dan pernah dilaksanakan oleh sahabat Rasulullah SAW sendiri.

Kita harus sedar bahawa peningkatan kadar jenayah saban tahun adalah salah satunya berpunca daripada hukuman yang dijalankan kurang memberikan kesan psikologi dan jiwa kepada pesalah dan masyarakat.

Ia tidak menggerunkan kita. Oleh yang demikian, rakyat tidak takut untuk melakukan kesalahan dan jenayah.

Dalam kes Puan Kartika Sari Dewi Shukarnor, setelah Mahkamah Syari’ah membuat keputusan demikian, beliau redha dan mahu untuk dilaksanakan hukuman tersebut atas dasar keinsafan dan takut kepada hukuman Allah SWT di hari akhirat nanti.

Malah, beliau juga menolak untuk menyaman mana-mana pihak dan mahu untuk menyegerakan hukuman tersebut. Saya berharap agar beliau benar-benar insaf dan menjadi insan yang bertaqwa.

Saya berpendapat agar Majlis Peguam meneliti saranannya itu.

Parti Islam SeMalaysia (PAS) bersedia untuk bermuzakarah dengan mereka untuk berbincang mengenai perkara ini.

Saya juga menyarankan agar pihak peguam syari’e di Malaysia dapat menjalankan aktiviti-aktiviti penerangan dan dialog bersama Majlis Peguam dan masyarakat supaya entiti dan sistem perundangan Syari’ah di Malaysia dimartabatkan.


YB Nasharudin Mat Isa

Timbalan Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS)

Ahli Parlimen Bachok

26 Ogos 2009 / 5 Ramadhan 1430

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

JALINAN UKHUWAH


ShoutMix chat widget