CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Ahad, 14 Februari 2010

Sayyid Nuh, Pendakwah Bersifat Rabbani


Kepelbagaian cara, pendekatan dan kaedah bagi masyarakat Islam boleh menjadi individu Muslim yang baik seperti yang disarankan oleh Allah melalui ayat 110 surah Ali Imran yang bermaksud: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah(buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).”

Maka Allah akan datangkan kepada manusia, pewaris-pewaris bagi tugas-tugas para Nabi dan Rasul yang disebut oleh Nabi sebagai Warathatul Anbiya’, yang menjalankan tugas yang sama dilakukan oleh golongan para Anbiya’ dengan menyampaikan segala yang baik dan mencegah manusia daripada melakukan yang keji dan munkar, ia dilakukan semata-mata untuk menyeru manusia seluruhnya untuk menjadi hamba Allah yang terbaik.

Demikian apa yang telah diwarisi oleh salah seorang tokoh AL-Azhar yang disifakan sebagai seorang “Pendakwah bersifat Rabbani” kerana kejituan pegangan agamanya yang kental, di samping tidak mudah menyerah kalah kepada keadaan serta melakukan apa yang terbaik untuk memimpin umat menuju jalan yang sempurna, beliau yang dimaksudkan ialah Syeikh Dr As-Sayyid Muhammad Nuh atau lebih dikenali sebagai Sheikh Sayyid Nuh.

Mengenali Sheikh Sayyid Nuh Lebih Dekat

Sheikh Dr As-Sayyid Muhammad Nuh dilahirkan pada 3 Jamadil Awal 1365H, bersamaan dengan 24 April 1946 di sebuah perkampungan Al-Koum At-Tawil dalam jajahan Kufr As-Syeikh di Negara Mesir, datang daripada keluarga yang menetap di pedalaman yang serba dhaif dan kekampungan.

Ayahnya seorang petani dan mempunyai 11 orang adik-beradik, enam lelaki dan lima perempuan hasil daripada 3 orang ibu. Beliau merupakan anak sulung dan mempunyai tanggungjawab berat dalam memikul amanah keluarga. Berkahwin dengan adik perempuan kepada Sheikh Zain Al-Asy’ari yang juga meupakan kawan baiknya ketika sama-sama belajar di Universiti Al-Azhar dan telah dikurniakan seramai 10 orang anak, Sembilan lelaki dan seorang perempuan.

Menghafaz Al-Quran 30 juzuk semasa usianya lapan tahun, kemudiannya memasuki Maahad Al-Azhar peringkat rendah dan menengah di Kufr As-Syeikh dan mendapat tempat pertama keseluruhan di sekolah dan tempat ketiga di peringkat kebangsaan. Kemudian, beliau melanjutkan pengajian di Fakulti Usuluddin Universiti Al-Azhar di Kaherah. Beliau dapat menyempurnakan tesis PhD di universiti yang sama pada 1976

Guru-gurunya Semasa Belajar Dan Penglibatan Dengan Gerakan

Syeikh Sayyid Nuh memahami situasi keluarga yang serba dhaif dan memerlukan dalam menaja pembelajarannya sehingga ke peringkat yang tinggi. Berkat kesungguhan dan ketabahannya dalam pelajaran, akhirnya beliau berjaya menjulang kecemerlangan hingga akhirnya memperolehi biasiswa daripada Al-Azhar hingga ke peringkat PhD.

Di university, Sayyid Nuh menadah kitab-kitab ilmiah lama daripada guru-gurunya yang amat ikhlas dan bersungguh-sungguh untuk menyampaikan ilmu agama. Beliau berasa beruntung dan bertuah kerana memiliki guru-guru yang sedemikian, beliau juga sempat menghabiskan konsep pengajian “talaqqi” secara langsung daripada awal kitab hingga ke akhirnya dengn penuh kesabaran dan kecekalan walaupun menghadapi masa-masa yang amat sukar.

Antara kitab yang dianjurkan oleh guru-gurunya seperti Syeikh Ibrahim Al-Khamis dan Syeikh Abdul Fattah Sultan untuk beliau baca sebagai persediaan mengambil PhD ia kitab “Ibadat Dalam Islam” hasil tulisan Prof Dr Yusuf Al-Qaradhawi yang banyak mempengaruhi dirinya.

Syeikh As-Sayyid Nuh mempelajari ilmu tasawwuf daripada Syeikh Abdus Salam Abu Al-Fadhl, Imam Besar Masjid Al-Abbasi di Al-Mahallat Al-Kubra, dalam jajahan Al-Gharbiyyah. Membaca penulisan-penulisan ilmiah dalam pelbagai pendekatan yang dihasilkan oleh kebanyakan pemimpin gerakan Islam.

Itu adalah salah satu sebab mengapa Syeikh Nuh mengambil inisiatif menyertai gerakan Islam yang akhirnya beliau bergiat aktif dalam gerakan tersebut dan beliau diberi tanggungjawab untuk memimpin kelas-kelas pengajian, usrah, dan berdakwah secara berkelompok bagi menyedarkan umat Islam, apatah lagi Mesir, bukan hanya pada zaman kehidupannya, malah hingga ke hari ini tidak dapat menerima Islam dengan baik.

Kerjaya Syeikh Sayyid Nuh Dalam Bidang Akademik

Selepas menamatkan pengajian di peringkat PhD, Sayyid Nuh dipilih untuk menjadi seorang tenaga pengajar di Fakulti Usuluddin, Univesiti Al-Azhar Kaherah untuk beberapa tahun, kemudian dihantar oleh Timbalan Syeikh Al-Azhar waktu itu, Syeikh Rauf Al-Syalabi sebagai Pemangku Dekan Fakulti Usuluddin di Mansurah bagi melengkapkan jadualnya sbagai murabbi kepada mahasiswa di situ.

Beliau mendapat sokongan padu menjawat jawatan itu daripada tokoh ulama Al-Azhar iaitu Syeikh Al-‘Adawi, beliau melepaskan jawatan itu kerana mahu menimba pengalaman berharga di luar Negara tambahan pula ganjaran yang diberikan amat lumayan memandangakan beliau masih memiliki adik-adik yang masih belajar di peringkat menengah dan pengajian tinggi selepas kematian ayahnya kerana sakit tua.

Pada 1981, Sayyid Nuh dipinjamkan ke Fakulti Syariah, Universiti Qatar, di mana dekannya pada waktu itu ialah Syeikh Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradhawi. Pada 1982, beliau ke negara Emiriah Arab Bersatu hingga 1993 dan kemudian ke Kuwait untuk mengajar subjek hadis di Fakulti Syariah Universiti Kuwait hingga beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Sejak meninggalkan Mesir dari tahun 1993, beliau merasa jauh dari ibu kandungnya, hinggalah pada 2003, beliau pulang ke Mesir menjemput ibunya bersama untuk menunaikan fardhu haji dan sebelum pulang semula ke Kuwait, beliau jatuh sakit dan dimasukkan ke Hospital Darul Fuad di Bandar 6 Oktober di Kaherah hingga meninggal dunia.

Ramai kawan-kawannya sama ada di kalangan pensyarah, mahupun rakan-rakan dalam gerakan Islam, menyifatkannya sebagai manusia yang memiliki sifat Rabbani iaitu sifat ketuhanan kerana sering bangun pada waktu malam untuk bermunajat kepada Allah SWT, membaca al-Quran dengan segala ilmu yang berkaitan dengannya, mulutnya tidak lekang daripada berzikir dan amat meminati membaca buku-buku tulisan para ulama’ muktabar.

Menurut mereka, Sayyid Nuh memiliki penguasaan luar biasa dalam ilmu-ilmu hadis, lebih-lebih lagi tesis peringkat MA dan PhDnya adalah mengenai ilmu hadis. Beliau juga dikatakan menguasai ilmu menganai pemikiran Islam hingga mampu berhujah mematahkan pandangan pihak lawan, menguasai ilmu dakwah dan tarbiah. Justeru beliau dipertanggungjawabkan oleh pihak gerakan, mengandali kelas-kelas pengajian berhubung ilmu-ilmu berkenaan, bukan sahaja secara teori, malah secara praktikal kerana sepanjang berada dalam bidang akademik, beliau menggunakan kesempatan untuk berdialog, berdakwah walau dengan sesiapapun yang beliau temui semata-mata untuk mengembangkan ajaran Islam di muka bumi ini.

Sumber : PMRAM

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

JALINAN UKHUWAH


ShoutMix chat widget