CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Rabu, 26 Ogos 2009

5 rahsia utama kecap nikmat ibadat puasa

DR Yusuf Qardhawi dalam kitabnya al-Ibadah Fil Islam mengungkapkan ada lima rahsia utama puasa yang membolehkan kita berasakan kenikmatan dalam ibadat ini.

1. Menguatkan jiwa.

Dalam hidup, kita mendapati ada manusia dikuasai hawa nafsu.

Manusia seperti ini, menuruti apa yang menjadi keinginannya, walaupun ia sesuatu yang batil serta mengganggu dan merugikan orang lain.

Oleh itu, dalam Islam ada perintah memerangi hawa nafsu dengan maksud berusaha untuk menguasainya.

Sekiranya dalam peperangan ini (hawa nafsu) manusia kalah, malapetaka besar akan berlaku. Perkara ini kerana manusia yang kalah itu mengalihkan pengabadiannya daripada Allah kepada hawa nafsu yang cenderung kepada kesesatan.

Allah memerintahkan kita memerhatikan masalah ini dalam firman-Nya bermaksud: "Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmu-Nya." (Surah al-Jaathiyah, ayat 23)

2. Mendidik keinginan ke arah kebaikan.

Puasa mendidik seseorang memiliki keinginan kepada kebaikan, walaupun menghadapi pelbagai rintangan. Puasa yang dikerjakan secara baik akan membuatkan seseorang itu terus mempertahankan keinginannya yang baik.

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: "Puasa itu sebagai benteng" (daripada serangan keburukan).

Dalam kaitan ini, puasa menjadikan rohani seorang Muslim semakin ampuh. Kekuatan rohani unggul ini membuatkan seseorang itu tidak akan lupa diri, walaupun mencapai kejayaan atau kenikmatan duniawi.

3. Menyihatkan badan.

Di samping kesihatan dan kekuatan rohani, puasa memberikan pengaruh positif terhadap kesihatan jasmani (tubuh dan anggota badan). Hal ini tidak hanya dinyatakan oleh Rasulullah SAW , malah dibuktikan doktor atau ahli perubatan.

4. Mengenal nilai kenikmatan dan bersyukur.

Dalam hidup ini, sebenarnya terlalu banyak kenikmatan diberikan Allah kepada manusia, tetapi ramai tidak mensyukurinya.

Maka, dengan puasa manusia bukan hanya disuruh merenungi kenikmatan diperoleh, malah diminta merenung nikmat Allah kepada kita.

5. Mengingati dan berasakan penderitaan orang lain.

Berlapar dan dahaga memberikan pengalaman bagaimana beratnya penderitaan yang dirasakan orang lain. Pengalaman berlapar dan haus itu akan segera berakhir hanya dengan beberapa jam (lebih kurang 12 atau 13 jam), sementara penderitaan orang lain entah bila berakhir.

Oleh itu, sebagai simbol daripada rasa simpati itu, sebelum Ramadan berakhir, kita diwajibkan untuk menunaikan zakat (fitrah). Zakat tidak hanya bagi kepentingan orang miskin dan menderita, malah menghilangkan kekotoran jiwa berkaitan harta seperti gila harta dan kikir.




0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

JALINAN UKHUWAH


ShoutMix chat widget