Dakwah: Prinsip, Sebelum Peribadi
Secara kebiasaannya, dan secara lojiknya, anak murid akan terkesan dengan gurunya, yang telah memimpinnya daripada kegelapan kepada cahaya, daripada kehidupan yang celaru tanpa tujuan kepada kehidupan yang jelas.
Menyedarkan makna kepuasan dalam hidup, objektifnya, dan hakikatnya. Dan membawanya daripada alam kejahilan kepada alam pengetahuan dan renungan.
Secara tabie, lojik, dan sendirinya, seseorang murid akan meneladani gurunya dengan perkara yang dirasakan elok. Tetapi adalah suatu kesilapan, sekiranya dia menganggap pendapat-pendapat gurunya dan buah-buah fikirannya itu suci daripada kekurangan, yang tidak boleh ditentang dengan lojik dan pemikiran yang membetulkannya atau menolaknya.
Jikalau itu yang berlaku, maka akal anak murid akan sentiasa terikat dengan akal gurunya, hatinya dengan hati gurunya, beramal dengan amalan gurunya, cintai apa yg dicintai, benci apa yang dibenci, bersemangat dengan apa yang gurunya bakar-bakarkan, lemah di waktu gurunya lemah, mara apabila gurunya mara, dan berundur tikamana gurunya berundur.
Mad’u seperti ini, dia tidak mengetahui bahawa dia telah melakukan satu kesilapan yang besar, kerana telah menjadikan gurunya (pendakwah) terlindung daripada dua rujukan utama yang tiada kebatilan padanya iaitu ; Al-Quran dan As-Sunnah.
Murid yang melakukan sedemikian, dia tidak mengetahui bahawa dia sebenarnya telah memotong ikatan rabbani di antara dirinya dengan Penciptanya. Dialah sahaja yang telah menghulurkan segala bekalan yang berterusan tika mana manusia tiada, dan telah menunjukkan perkara benar tika mana manusia berselisih pendapat, dan telah menunjukkannya jalan tika mana dia sesat.
Ingatkah engkau kewafatan Rasulullah s.a.w?
Adakah engkau ingat penentangan yang dilakukan oleh ribuan muslimin selepas kewafatan Baginda s.a.w, untuk murtad dan tidak mahu membayar zakat? Adakah engkau ingat apa yang telah dilafazkan oleh Abu Bakr r.a ? Orang yang paling cintakan Rasul s.a.w serta paling membenarkan Baginda s.a.w, dan sungguh berseni dalam berkorban untuknya, orang yang tidak dapat membayangkan bagaimana besarnya kehilangan kekasih hati dan teman sepanjang umur?
Sesungguhnya dia telah menyeru manusia dengan lantang, sehingga terkejut setiap orang yang pernah mengenalinya sebelum ini, tika dia berkata; “Sesiapa yang menyembah Muhammad, maka Muhammad telah mati, dan sesiapa yang menyembah Allah, maka Allah itulah yang Maha Hidup dan tidak akan mati.” Kemudian dia membaca;
“Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau ia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun; dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu)”. Surah Ali Imran: 144
Walaupun dengan sepenuh cintanya mencintai Nabi s.a.w, tetapi semua kesedaran, kefahaman, tanggungjawab, ikatan dengan fikrah dan prinsip, manhaj dan Tuhan manhaj, tidak ada baginya guru ataupun ketua, sehinggalah walaupun guru dan ketua itu Rasul s.a.w sekalipun.
Hormat terhadap guru dan orang alim
Secara pastinya, kita dituntut untuk menghormati guru-guru kita dan orang-orang alim kita, usaha mereka, pendapat mereka, buah-buah fikiran mereka, dan kita sentiasa menyebut-nyebut mereka dengan perkara-perkara yang baik. Kita juga tidak boleh membiarkan diri kita dan orang lain untuk memburuk-burukkan mereka sekiranya pendapat kita berlainan dengan mereka, dan juga tidak mempamerkan kesalahan mereka sekiranya mereka tersilap.
Ini kerana setiap manusia tidak terlepas daripada kesalahan, walau setinggi mana pun ilmu dan kemampuannya. Tetapi dalam masa yang sama kita dituntut untuk tidak meninggikan mereka ke satu darjat kesucian, dan menganggap setiap yang dikatakan itu betul, dengan tidak mempertikaikan pendapat mereka, atau tanpa melihat kembali pendapat mereka, atau menolaknya. Kita juga tidak dituntut untuk menganggap apa yang bertentangan dengan lisan mereka adalah salah dan tidak boleh untuk dikaji, atau ditelaah, atau diambil darinya.
Bahaya yang tersembunyi
Apabila meningkatnya rasa cinta terhadap ulama’ dan guru-guru dan intimnya keterikatan dengan mereka, maka bermulalah suatu bencana yang bahaya dalam dakwah itu sendiri. Ini adalah kerana keterikatan yang sebegini akan menjadikan kesetiaan / wala’ seseorang kepada peribadi-peribadi dan bukan kepada dakwah itu sendiri.
Seterusnya dia akan mencari jalan-jalan untuk menampakkan kesalahan itu sebagai perkara yang betul, dan menjadikan kritikan terhadap pendapat sama seperti mengkritik peribadi.
Cara berfikir sebegini akan menjadikan seseorang itu memperjuangkan peribadi-peribadi tertentu, dilebihkan daripada memperjuangkan dakwah dan fikrah itu sendiri. Ia akan menjadikan peribadi-peribadi tersebut lebih tinggi daripada prinsip-prinsip.
Ini merupakan satu perkara yang menafikan nilai ikhlas dan tajarrud (totaliti) dalam dakwah, dan ia meletakkannya dalam bawakan angin nafsu dan semangat perkauman. Ia mencipta perasaan taksub buta bagi kumpulan-kumpulan dan mazhab-mazhab yang secara tabie dan lojiknya ia akan wujud selagimana manusia ini wujud, kerana mereka memang telah dicipta oleh Allah akan berselisih dan sentiasa berselisih.
Tetapi apa yang dirisaukan adalah, medium perbezaan pendapat dalam mazhab dan buah fikiran ini bertukar kepada tempat mencaci maki dan mengumpat, memburukkan peribadi-peribadi dan ulama’ tertentu, dan boleh jadi ia pergi kepada yang lebih jauh daripada itu, sehingga ia boleh menjejaskan asas-asas dalam akhlak islamiah dan kemanusiaan.
Sesungguhnya tautan dengan peribadi-peribadi tertentu tanpa fikrah yang dibawa akan menjadikan seseorang itu sebagai tawanan bagi sesiapa yang diikutinya. Dengan itu terpadamlah cahaya akalnya dan pandangannya, dan terhalanglah padanya banyak kebaikan, sehingga dia hidup bertentangan dengan kepentingan dakwahnya, agamanya dan dirinya sendiri.
Telah diriwayatkan oleh ahli sejarah, bahawa telah dikatakan kepada Khalid Al-Walid pada suatu hari selepas dia masuk Islam (walaupun terlewat) – beliau merupakan seseorang yang hebat berfikir dengan akalnya dan kepandaiannya, dan telah segera memeluk Islam setelah dengar mengenainya – dikatakan kepadanya;
“Di manakah akalmu wahai Khalid? Adakah engkau tidak melihat cahaya kenabian di depan matamu sebelum ini?”.
Beliau menjawab: “Sebelum ini ketua kami adalah lelaki-lelaki yang mana kami melihat mimpi-mimpi mereka seperti gunung-ganang!” –bermaksud mereka ini mengikut telunjuk ketua –pent.
Dan lebih dahsyat lagi, golongan-golongan pak turut tersebut itulah yang mula-mula sekali terjatuh dalam fitnah dan cubaan, tika mana orang yang disanjunginya itu difitnah dan dicuba. Mereka (pak turut) itu menghamparkan keyakinan dan keimanan mereka serta meluaskan pemikiran mereka terhadap peribadi-peribadi tersebut yang kadang-kadang betul kadang-kadang salah.
Namun mereka tidak meluaskan buah-buah fikiran tersebut kepada keimanan kepada Allah. Mereka berpuas hati dengan teori-teori mereka, dan mereka terus berjuang mempertahankannya ketika manusia menjauhi mereka, atau manusia mengkritik teori-teori mereka. Bahkan mereka akan lemah semangat, untuk memikul nyalaan dakwah ini kepada sesiapa selepas mereka, dan tidak mampu untuk menyempurnakan jalan ini hanya dengan mencari keredhaan Allah dan keimanan kepada dakwah mereka.
Sesungguhnya itulah sebab yang sama yang telah mendorong Umar Al-Khattab r.a untuk melucutkan jawatan panglima perang terbaik dan termasyhur dalam sejarah Islam, iaitu Khalid Al-Walid, daripada mengetuai tentera ketika saat-saat kemenangannya. Itulah dia suatu bentuk arahan yang mengejutkan kebanyakan manusia, kerana dia takut-takut bahawa orang muslimin akan mengatakan kemenangan tersebut adalah kerana Khalid, bukan kerana pertolongan Allah yang Maha Kuat lagi Maha Perkasa.
Rawatan
Persoalan ini adalah tanggungjawab bersama di antara mad’u dan daie. Dengan peranan kedua belah pihak barulah dapat menyelesaikan masalah ini, dan mengehadkan kesan-kesan buruk kepada dakwah.
Pertama: Peranan Daie
1. Sentiasa memberi taujihat dalam mencari keredhaan Allah. Walaupun itu merupakan bentuk-bentuk individu atau peribadi, tetapi itulah cara pengajaran tradisi yang dengannya Nabi s.a.w mentarbiyah para sahabatnya. Itulah yang mendorong Abu Bakr r.a mula-mula sekali bersuara ketika di awal pelantikannya; “Taatilah aku selagimana aku mentaati Allah kepada kamu, dan sekiranya aku melanggari perintah Allah, maka tiadalah ketaatan bagiku ke atas kamu”.
2. Melazimkan diri dengan ikhlas, tawadhuk dan tajarrud (total).
3. Ikatkan mad’u dengan fikrah, bukan dengan dirinya selagimana dia mampu.
4. Berani mengaku kesalahan sekiranya tersilap.
5. Mendorong untuk berfikir dan berbincang dan kreatif dalam berfikir, serta tidak mengambil pandangan orang lain sebagai maksum, wajib diikuti dan dilaksanakan.
6. Memberikan qudwah dan contoh dalam menghormati orang-orang yang bertentangan pendapat dan menyatakan sudut pandangannya, serta tidak mencela dan memburukkan mana-mana peribadi secara mutlak. Juga hanya menyebutkan perkara-perkara baik terhadap orang yang berselisihan pendapat, dengan menganggap mereka ini mujtahid, kadang-kadang betul kadang-kadang salah, seperti mana manusia lain.
7. Menerima kritikan dengan hati yang gembira, dan membalas setiap pertanyaan tanpa bosan atau mengatakan kepada pengkritik mereka ini jahil. Dan juga elakkan daripada suka berdebat.
Kedua: Peranan Mad’u
1. Bersifat Rabbani (ketuhanan) dan sentiasa menghadapkan akal, hati dan tubuh badan kepada Allah, bukan kepada peribadi.
2. Tidak meletakkan darjat sesiapapun ke darjat yang suci daripada kesilapan, dan menjadikan pendapatnya sentiasa benar itu tidak boleh dibincangkan, walaupun dalam kemampuannya dan kedudukannya di sisi manusia.
3. Sentiasa menggunakan fikiran dalam menilai apa yang diperkatakan manusia.
4. Bebas daripada peribadi-peribadi tertentu, dan memisahkan di antara pengajaran mereka dan ikut mereka secara membabi-buta kepada mereka.
5. Kemahuan untuk kreatif dan pembaharuan, dan pertambahan terhadap apa yang telah dicapai oleh orang lain, serta tidak menganggap apa yang yang telah dicapai oleh mereka itu adalah sehabisnya. Ini kerana kekreatifan bagi akal tiada sempadan.
Apabila perkara-perkara di atas berlaku, maka akan terhubunglah hati, akal dan jiwa dengan Penciptanya lebih kuat daripada mana-mana manusia. Pada ketika itulah kita tidak melihat sesiapa di depan kita melainkan Allah, sehinggalah walaupun yang berdiri di depan kita jutaan manusia. Maka kita akan terus mempertahankan prinsip-prinsip yang kita imani ini, sehinggalah walaupun semua orang melepaskan diri daripada amanah ini. Sehinggalah, walaupun tergolong dalam mereka (yang melepaskan diri itu) adalah mereka yang pernah menjadi pendokong dakwah sebelum ini.
Wallahua’lam.
Di petik dari
Sabtu, 21 Februari 2009
Dakwah: Prinsip, Sebelum Peribadi
Dicatat oleh Ikhwan Muslimun Malaysia di 6:08 PG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan