CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Isnin, 2 Februari 2009

SEMBAHYANG MEMBINA PERIBADI AGUNG

KEKUATAN SESUATU BANGSA

Di dalam sejarah tamadun manusia, ada bangsa-bangsa yang telah menempa sejarah yang agung. Bangsa-bangsa itu dianggap agung kerana kedudukan dan martabat mereka yang jauh lebih tinggi dari bangsa-bangsa lain yang sezaman dengan mereka. Mereka itu agung kerana mereka:
1. Bangsa yang berjiwa besar
2. Berwibawa
3. Bertamadun
4. Disegani
5. Dihormati
6. Maju
7. Mengatur
8. Banyak memberi khidmat kepada bangsa lain

Bangsa-bangsa yang lemah dan mundur mempunyai ciri-ciri dan sifat-sifat negatif yang menyebabkan mereka itu tidak boleh maju dan ketinggalan dari bangsa-bangsa lain. Di antara ciri-ciri dan sifat-sifat tersebut adalah seperti berikut:
1. Pemalas
2. Berjiwa kecil
3. Penakut
4. Suka meminta-minta (bantuan dan subsidi)
5. Lemah jiwa. Mudah putus asa dan kecewa
6. Tidak ada keyakinan diri
7. Tidak ada cita-cita untuk bangsanya. Mereka hanya ada cita-cita peribadi, untuk hidup senang dan untuk makan sendiri sama ada pemimpin dan orang besarnya ataupun rakyatnya.

Bangsa-bangsa yang kuat dan agung pula mempunyai ciri-ciri dan sifat-sifat yang jauh berbeza. Mereka sebaliknya mempunyai berbagai-bagai sifat positif yang dapat memberi kekuatan kepada mereka. Sifat-sifat itu termasuklah:
1. Rajin
2. Berjiwa besar
3. Berani
4. Tidak suka meminta-minta dan sangat berdikari
5. Kuat jiwa. Tidak mudah putus asa atau kecewa
6. Yakin diri
7. Ada cita-cita untuk bangsanya, sama ada cita-cita itu pada pemimpin, pada orang besarnya atau pada rakyatnya.

Di samping sifat-sifat di atas, ada lagi sifat-sifat positif yang sangat meneguhkan dan menguatkan peribadi mereka. Ini termasuklah sifat-sifat:
1. Berdisiplin
2. Sabar

Agungnya peribadi itu pula dapat dilihat pada:
1. Akhlaknya
2. Imannya
3. Keyakinannya
4. Disiplin hidupnya
5. Kebersihan hatinya
6. Jauhnya mereka daripada melakukan maksiat dan dosa
7. Kemas syariatnya

Bukan mudah untuk mengubah bangsa yang lemah dan mundur supaya menjadi bangsa yang kuat dan agung. Segala ciri dan sifat-sifat mereka itu perlu diubah. Sifat pemalas mesti diubah menjadi rajin. Jiwa yang kecil mesti diubah menjadi jiwa yang besar. Sifat suka meminta-minta dan sentiasa mengharapkan bantuan dan subsidi, mesti dikikis dan dibuang. Mesti ditanam dengan sifat berdikari. Jiwa yang lemah mesti dikuatkan. Tidak boleh mudah kecewa dan berputus asa. Sifat penakut mesti ditukar kepada sifat berani. Mereka mesti kuat keyakinan. Cita-cita bangsa perlu ditanam di dalam hati sanubari setiap anak bangsa. Sifat suka mementingkan diri dan bekerja hanya untuk kesenangan diri sendiri mesti dihapuskan. Ini sesuai dengan firman Allah SWT:
Maksudnya: "Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu mengubah apa yang ada dalam diri (hati atau jiwa) mereka." (Ar Ra'd: 11)

BAGAIMANA SOLAT BOLEH MEMBINA KEKUATAN
Solat atau sembahyang itu, Tuhan yang menetapkan rukun-rukunnya. Ia bukan ciptaan manusia, bukan direka-reka atau dibentuk oleh manusia. Kalau difahami dan dihayati, sembahyang itu adalah sesuatu yang sangat hebat. Kita akan dapat merasakan bahawa Tuhan itu hebat. Kita akan dapat bersandar kepada kehebatan-Nya. Satu Zat yang tidak dapat dibayangkan kebesaran-Nya tetapi terasa kebesaran-Nya. Satu Zat yang tidak dapat dibayangkan bagaimana wujud-Nya tetapi terasa wujud-Nya. Satu Zat yang tidak dapat dibayangkan kuasa-Nya tetapi terasa kekuasaan-Nya. Terasa oleh kita akan kesempurnaan Tuhan. Kita boleh minta apa sahaja dari Tuhan. Tuhan sedia melayannya.

Solat itu adalah satu modul yang lengkap untuk mendidik hati dan jiwa manusia. Dalam solat ada ubat, ada pil, ada tonik dan ada vitamin untuk menyembuhkan penyakit rohani dan membina peribadi yang kuat, gagah dan agung. Boleh timbul berbagai kekuatan bagi individu atau sesuatu bangsa hasil dari solat dengan syarat ada ilmunya, faham dan solat itu benar-benar dijiwai serta dihayati.

PENDIDIKAN ITU MELALUI IBADAH
Untuk mendapatkan sifat-sifat yang agung ini bukanlah sesuatu yang senang. Perlu ada pemimpin yang mendidik ke arah itu. Kalau tidak ada pemimpin yang mendidik, ia mustahil boleh berlaku.

Pemimpin itu pula tidak boleh sebarang atau calang-calang pemimpin.Pemimpin yang hendak menjadikan bangsanya kuat dan agung mestilah mempunyai segala ciri-ciri dan sifat-sifat yang agung itu pada dirinya terlebih dahulu. Kalau tidak, bagaimana dia hendak mendidik bangsanya supaya mempunyai ketujuh-tujuh ciri dan sifat yang agung tadi. Dia mesti mempunyai mandat dari Tuhan. Dia juga mesti mampu mendidik hati-hati manusia sepertimana para nabi dan rasul mendidik. Dia mesti faham perjalanan hati dan roh manusia. Dia mestilah orang yang sangat bertaqwa dan mempunyai wibawa yang tinggi. Manusia mudah memberi hati, mencintai dan taat kepadanya.

Pendidikan bangsa mestilah melalui ibadah. Itulah sebabnya Tuhan memerintahkan kita supaya beribadah kepada-Nya sama ada ibadah pokok mahupun ibadah sampingan atau sunat. Kalau ibadah yang Tuhan perintahkan itu kita laksanakan dengan bersungguh-sungguh maka dari situ akan lahirlah kekuatan sesuatu bangsa. Ibadah pokok atau ibadah asas ialah solat atau sembahyang lima waktu. Ibadah-ibadah lain adalah sampingan atau sunat. Ibadah pokok atau ibadah asas mesti ada. Ia menjadi syarat. Kalau ibadah pokok atau asas ini tidak cukup untuk memberi kekuatan, ia boleh ditampung dan dicukupkan oleh ibadah-ibadah sampingan yang lain.
Kekuatan yang timbul atau yang boleh diperolehi dari setiap ibadah itu pula tertakluk dan berkait rapat dengan tiga perkara iaitu:
1. Ilmu
2. Kefahaman
3. Penghayatan

Setiap ibadah yang dibuat mesti mempunyai ketiga-tiga perkara ini. Ilmunya sudah tentu penting kerana tanpa ilmu kita tidak tahu cara yang sebenar untuk beribadah dan ibadah kita pasti akan tertolak. Tuhan tidak terima ibadah yang dibuat tanpa ilmu.
Kefahaman lebih penting. Faham itulah hikmahnya. Faham itu ialah ilmu dalam ilmu. Sebab itulah ada Hadis yang mengatakan:
"Barangsiapa yang hendak dijadikan baik, maka dia diberi faham tentang agama.'' (Riwayat Muawiyah)

Dalam doa pun selalu kita minta kepada Tuhan begini:
Maksudnya: "Ya Tuhanku, berikanlah aku ilmu dan rezekikanlah aku kefahaman."
Kemuncak daripada ilmu dan faham itulah penghayatan. Penghayatan itu ialah apabila ilmu dan kefahaman itu betul-betul menjadi roh kita, otak kita, hati kita dan sikap kita. Apabila sesuatu ibadah itu ada ilmunya, difaham dan dihayati maka akan jadilah ibadah itu satu sumber kekuatan.

KENAPA SELAMA INI IBADAH TIDAK MENDIDIK KITA
1. Ibadah tanpa penghayatan tidak memberi kesan
Kita diberi ilmu tentang ibadah, sama ada ibadah asas mahupun ibadah sunat, hanya setakat yang bersangkut paut dengan hukum-hakam iaitu tentang syaratnya, rukunnya, sah dan batalnya sahaja. Oleh itu dalam beribadah, itulah yang kita jaga iaitu syaratnya, rukunnya, sah dan batalnya sahaja. Tidak lebih dari itu. Dalam solat, itulah juga empat perkara yang ditekankan. Begitu juga dalam ibadah puasa dan haji. Ilmu lain termasuk falsafahnya tidak diajar. Kefahaman dan penghayatan pun tidak diajarkan. Kalau begitu keadaannya bagaimanalah ibadah itu dapat dihayati.

Kalau ibadah penting seperti solat yang menjadi tiang agama dan ibu segala ibadah pun hanya diajar syarat, rukun, sah dan batalnya sahaja tetapi ilmu falsafah, kefahaman dan penghayatannya tidak diajar, maka rugi sungguhlah kita.
Fenomena ini sudah berlaku selama tujuh ratus tahun semenjak jatuhnya empayar Islam. Ilmu ibadah yang kita belajar selama ini sangat terbatas. Ilmu ibadah yang diajar tidak langsung menyentuh tentang roh ibadah atau hikmah dalam ibadah. Sebab itu kita lihat, orang yang banyak ibadah dan banyak bersolat pun, ianya tidak memberi apa-apa kesan pada diri dan hati mereka. Akhlak mereka tidak banyak berubah. Bahkan orang yang banyak ibadah menjadi lebih beku, tidak aktif, tidak produktif dan sangat pasif. Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: "Barangsiapa yang sembahyangnya tidak dapat mencegahnya daripada maksiat dan kemungkaran maka tidak bertambah dekat dia dengan Allah, melainkan bertambah jauh daripada Allah." (Riwayat At Tabrani)

Ibadah tanpa penghayatan dan penjiwaan ini tidak memberi apa-apa kekuatan. Ibadah seperti ini tidak dapat melahirkan bangsa yang kuat dan yang mempunyai peribadi yang agung. Dalam perintah Tuhan supaya kita beribadah itu terkandung ubat untuk bagaimana kita boleh melahirkan bangsa yang gagah dan agung, yang dapat menguasai dunia. Tetapi disebabkan ibadah kita itu hanya ibadah lahir, tidak ada jiwa, tidak ada roh dan tidak dihayati, kita bersolat atau tidak bersolat, kita ibadah atau tidak ibadah, sama sahaja kesannya kepada kita.

2. Tidak ada ilmu tentang Tuhan
Solat atau sembahyang itu, di antara tujuannya ialah untuk mengingatkan dan menyedarkan manusia tentang Tuhan. Bukan untuk mengajar manusia tentang Tuhan tetapi untuk mengingatkan dan menyedarkan manusia tentang Tuhan. Manusia sepatutnya sudah ada ilmu dan faham tentang Tuhan di luar sembahyang. Cuma, manusia atau insan itu sifatnya adalah pelupa. Walaupun manusia ada ilmu dan faham tentang Tuhan di luar sembahyang tetapi mereka tetap akan lupa. Itulah sifat manusia. Istilah insan adalah dari istilah ins dalam bahasa Arab yang maksudnya pelupa.

Solat atau sembahyang akan hanya memberi kesan pada orang yang sudah ada ilmu dan faham tentang Tuhan. Maka dalam sembahyang, dia hanya diingat-ingatkan dan disedarkan lagi. Lima kali sehari semalam, Allah ingat-ingatkan dia tentang Tuhan untuk menampung sifat pelupanya itu supaya dia jangan terus lupa. Itulah rahmat dan kasih sayang Tuhan.

Sembahyang hanya boleh menyedarkan orang yang sudah ada ilmu dan faham tentang Tuhan. Tetapi bagi kebanyakan umat Islam, di luar sembahyang dan dalam kehidupan seharian, mereka memang tidak ada ilmu dan tidak faham tentang Tuhan. Kalau di luar sembahyang sudah jahil, tidak ada ilmu dan tidak faham, bagaimana untuk mengingat Tuhan dalam sembahyang. Bagaimana dapat mengingat perkara yang kita tidak pernah tahu dan tidak pernah faham. Ini perkara mustahil. Orang yang tidak ada ilmu dan tidak faham tentang Tuhan sangat susah untuk disedarkan. Orang macam ini, sembahyang tidak ada makna baginya. Terpekik terlolong dalam sembahyang pun tidak jadi apa-apa. Dia tidak ubah seperti orang gila.

Inilah juga sebab kenapa ibadah terutama solat atau sembahyang itu tidak mendidik kita. Umat Islam rata-rata memang tidak ada ilmu dan tidak faham tentang Tuhan dan sifat-sifat Tuhan. Sembahyang tidak membawa mereka kepada Tuhan. Jauh sekali mengingatkan mereka tentang Tuhan.

Sumber:Ikhwantoday.com/

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

JALINAN UKHUWAH


ShoutMix chat widget