CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Khamis, 30 September 2010

Pulangkan wang sumbangan kerana hasil judi?

Berbagai isu cuba diputar belitkan oleh Umno untuk menjatuhkan Pakatan Rakyat dan isu terbaru adalah berkaitan LGE memberi bantuan kebajikan kepada faqir dan miskin menggunakan cukai perjudian.

p/s : Umno yang menghalalkan perjudian namun Umno bersuara menentang apabila cukai perjudian digunakan untuk membantu faqir dan miskin.

Berikut adalah pendapat seorang ulama yang neutral terhadap isu tersebut.


Tindakan penerima wang bantuan kerajaan Pulau Pinang memulangkan kembali wang tersebut boleh dinilai dari dua sudut iaitu sudut politik dan sudut agama atau hukum. Saya tidak berhasrat menyentuh isu terbabit dari sudut politik kerana ia bukan bidang saya. Cuma jika, tindakan tersebut jika dijadikan ikutan, nanti kita akan dapat melihat kebanyakan orang miskin di Malaysia memulangkan wang bantuan yang diberikan oleh kerajaan negeri, kerajaan pusat dan syarikat. Ini kerana sebahagian pendapatan kerajaan negeri dan pusat juga adalah dari sumber haram seperti cukai pusat judi, pelaburan haram, riba, pusat hiburan, rumah urut ‘pelacuran' dan sebagainya. Justeru bantuan mungkin sahaja diambil dari wang haram tersebut.

DARI SUDUT HUKUM

Jika dilihat dari sudut hukum, jika tindakan warga emas tersebut dibuat atas dasar kononnya wang dipulang kerana ia tidak bersih dan haram, tindakan mereka adalah SALAH lagi terkeliru dengan cakap-cakap orang yang tiada memahami hukum Islam. Ini kerana dari sudut hukum, faqir dan miskin HARUS menerima sebarang sumbangan yang diberikan oleh pihak kerajaan negeri, walaupun diketahui kerajaan negeri mempunyai sumber wang yang HARAM.

Fakta berikut perlu difahami:

1. Wang kerajaan negeri Pulau Pinang ( dan lain-lain tentunya) adalah bercampur.

Para ulama telah membahaskan persoalan penerimaan sumbangan, derma atau menikmati juadah makanan dari individu yang mempunyai pendapatan bercampur antara halal dan haram. Majoriti ulama telah sepakat bahawa selagi mana harta si pemberi itu bercampur selagi itulah kita orang biasa boleh menerima hadiah, sumbangan, derma, menikmati makanan yang disediakan mereka.

Hal yang sama terpakai untuk sesebuah syarikat dan kerajaan, selagi sumber perolehan mereka bercampur, selagi itu HARUS untuk kita menerima gaji atau upah atau apa jua dari kantung mereka, selagi tugas dan cara kita memperolehinya adalah betul. Itu adalah hukum untuk orang biasa, maka jika penerima itu adalah warga yang memerlukan seperti faqir dan miskin, ia sudah tentu jauh lebih jelas KEHARUSANNYA. Malah terdapat dalil yang jelas berkenaan keharusan terbabit. Kes yang sama terpakai untuk kerajaan pusat yang menerima sumber pendapatan dari sumber judi, riba, arak, babi, rumah urut pelacuran dan sebagainya. Selain itu, juga turut menerima sumber halal seperti hasil minyak, jualan komoditi dan sebagainya.

2. Wang itu sendiri tidak najis atau haram pada zatnya.

Wang dan harta hanya dikira haram atau halal pada cara mendapatkannya dan membelanjankannya, ia dinamakan haram dari sudut hukmi bukan ‘hissi'. Ia tidak berpindah dari seorang kepada yang lain. Ia bukan seperti najis yag berpindah apabila disentuh oleh seeorang.

3. Bagaimana jika benar-benar sumbangan dari terus dari kantung wang judi, riba dan rasuah?.

Jika keadaan itu berlaku, ia masih lagi HARUS DITERIMA oleh Faqir, miskin dan digunakan untuk maslahat umum seperti sumbangan warga emas, pembinaan jalanraya, pembersihan dan sebagainya. Itu adalah ijtihad majoriti mazhab silam dan ulama kontemporari. Termasuklah, Majlis Fiqh Antarabangsa OIC, Majlis Fatwa Eropah, Majma Buhuth Mesir[1], Al-Lajnah Al-Daimah, Arab Saudi[2] dan ribuan ulama perseorangan seperti Imam Al-Ghazali, Imam An-Nawawi, Syeikh Al-Qaradawi , Syeikh Az-Zarqa[3], Syeikh Faisal Al-Maulawi dan ramai lagi. Derma bagi wang haram tidak mampu dipulangkan semula kepada tuannya ini hendaklah disedeqahkan kepada orang faqir miskin telah difatwakan harus oleh majoriti mazhab utama Islam ( Hasyiah Ibn ‘Abidin, 6/443 ; Fatawa Ibn Rusyd, 1/632 ; Al-Qawaid, Ibn Rejab, hlm 225 )

PANDANGAN ULAMA MAZHAB

Ulama hanafi menyebut :-

والملك الخبيث سبيله التصدق به, ولو صرف في حاجة نفسه جاز . ثم إن كان غنيا تصدق بمثله

Ertinya : Pemilikan kotor ( haram) jalan keluarnya adalah disedeqahkannya, malah jika pemilik itu seorang faqir), ia bleh mengambil untuk dirinya sendiri, kemudian, jika selepas itu dia menjadi kaya, hendaklah dia mendermakan wang haram (yang pernah diambilnya sewaktu miskin dahulu) ( Al-Ikhtiyar Li Ta'lil al-Mukhtar, 3/61)

Ulama mazhab Maliki seperti Al-Qarafi dan Ad-Dawudi menjelaskan wang haram tidak hanya terhad untuk diberikan kepada faqir dan miskin sahaja tetapi juga apa-apa pembangunan dan kegunaan yang memberi manfaat kepada umum menurut budi bicara dan penilaian pemerintah adil. Jelasnya, mazhab maliki juga setuju faqir, miskin malah warga emas yang memerlukan boleh menerima wang sedemikian tanpa masalah. ( rujuk Al-Dzakhirah, 5/69)

Ulama Mazhab Syafie, Imam An-Nawawi menukilkan kata-kata Imam al-Ghazali yang berkata:

وإذا دفعه - أي المال الحرام- إلى الفقير لا يكون حراماً على الفقير , بل يكون حلالا طيبا

Ertinya : sekiranya wang haram itu diberikan kepada faqir miskin, ia tidaklah haram ke atas faqir ( dan miskin), bahkan ia adalah halal lagi baik untuk mereka. ( Al-Majmu' , 9/428)

Imam A-Ghazzali juga menjawab keraguan beberapa ulama lain :-

وقول القائل: لا نرضى لغيرنا ما لا نرضاه لأنفسنا فهو كذلك ولكنه علينا حرام لاستغنائنا عنه وللفقير حلال إذا حلّه دليل الشرع وإذا اقتضت المصلحة التحليل وجب التحليل

Ertinya : Menjawab kata-kata orang yang berkata : "Kita tidak sepatutnya redha untuk diberikan kepada orang lain sesuatu yang kita tidak redha untuk kita". Memang benar sebegitu, namun dalam kes wang haram yag dimiliki, ia haram ke atas diri kita (pemilik) untuk menggunakannya, namun ia bagi faqir, miskin adalah halal, kerana telah ada dalil syara' yang menghalalkannya dan di ketika wujud kebaikan dari pemberian tersebut (kepada penerima), maka wajiblah diberikan. (Ihya Ulumiddin, 2/212)

Syeikh al-Qaradawi ketika membicara hal pengagihan wang haram berkata :

إذن ما دام هو ليس مالكا له, جاز له أخذه والتصدق به على الفقراء والمساكين أو يتبرع به لمشروع خيري

Ertinya : Oleh itu, selagi wang haram (yang dimiliki seseorang itu tidak diiktiraf oleh syaraa' sebagai miliknya), harus bagi pemegang itu untuk ambilnya dan disedeqahkan kepada faqir miskin atau didermakan kepada projek-projek kebaikan (untuk maslahat umum). ( Fatawa Mu'asiroh, 1/606)

RINGKASAN DALIL

Terdapat banyak sekali dalil yang dijadikan sandaran oleh majoriti ulama, terdiri dari hadis-athar, qiyas dan logik aqal. Antara hujjah yang dipegang bagi mengharuskan ‘derma' wang haram yang tidak diketahui tuannya, cukup sekadar memaklumkan beberapa secara ringkas:-

1. Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq r.a pernah bertaruh (di awal Islam) dengan seorang Musyrik (yang mencabar ketepatan Al-Quran dari surah Ar-Rum ayat pertama dan kedua yang mengisyaratkan kejatuhan Rom) iaitu kerajaan Rom akan tewas. Kemudian apabila Rom benar-benar jatuh, Sayyidina Abu Bakar dikira sebagai pemenang dan telah memperolehi harta pertaruhan itu (ianya haram kerana judi dan tujuan Abu Bakar hanyalah untuk membuktikan kebenaran al-Quran). Apabila Sayyidina Abu Bakar datang kepada Rasulullah s.a.w menceritakan perihal harta perolehan pertaruhan itu, Rasulullah bersabda :

هذا سحت فتصدق به

Ertinya : Ini kotor, sedeqahkan ia. (At-Tirmizi . 16/22 ; At-Tirmizi : Sohih)

Selepas peristiwa ini, barulah turun perintah pengharaman judi secara sepenuhnya sekalipun dengan orang kafir. (Tafsir At-Tabari, 20/16) Kisah ini dengan jelas menunjukkan Nabi tidak mengarahkannya dikembalikan kepada si Kafir, tetapi disedeqahkan untuk tujuan umum dan kebaikan ramai.

2. Selain itu, hujjah utama para ulama dalam hal mendermakan wang haram seperti wang rasuah yang dibawakan oleh Ibn Lutaibah, Nabi meletakkan wang ini di baitul mal dan diagihkan kemudiannya kepada faqir miskin dan kepentingan awam.[4]

3. Terdapat juga athar dari Ibn Mas'ud yang diriwayatkan oleh Al-Bayhaqi 6/188 dan banyak lagi.

KESIMPULAN

  • Warga emas, faqir dan miskin di pulau pinang dan mana-mana negeri dan Negara lain, DIHARUSKAN untuk menerima sumbangan dari mana-mana kerajaan negeri, syarikat dan individu selagi mana harta mereka (pemberi sumbangan) itu bercampur antara wang halal dan haram. atau dalam kata lainnya, harta mereka masih ada yang neutral dan halal.
  • Sekiranya mereka ingin memulangkan semula wang tersebut, itu juga harus hukumnya. Kerajaan negeri boleh selepas itu memberikan sumbangan dari poket kanan mereka dan wang dipulang itu masuk poket kiri kerajaan. Ia akan jadi sama sebenarnya.
  • Sebaiknya penyumbang tidak kira kerajaan, syarikat dan sepertinya; tidak mendedahkan sumber pemerolahan harta yang disumbang agar tidak mengelirukan penerima sebagaimana kes yang berlaku ini
  • Mereka juga HARUS untuk menerima wang sumbangan dari penyumbang tadi, walaupun jelas ia adalah dari hasil yang haram seperti judi lumba kuda rasuah, riba dan sebagainya. Tiada kotor pada wang yang diterima oleh mereka, kerana mereka adalah penerima yang diiktiraf oleh syara'. Manakala dosa hasil dari pemerolehan wang itu hanya ditanggung oleh pelaku dosa dan ia tidak merebak kepada penerima dari kalangan faqir miskin dan yang memerlukan.
  • Jika dilihat dari sudut hukum dan agama, warga yang menerima sumbangan terbabit TIDAK PERLU SAMA SEKALI memulangkan semula wang yang diterima.
  • Namun jika dilihat dari strategi politik pihak tertentu, tindakan tersebut di luar fokus artikel ini.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

30 Sept 2010

ORIGINAL ARTICLE : http://www.zaharuddin.net/content/view/963/72/

Rabu, 29 September 2010

Rejim zionis tangkap 5 Palestin dan 7 HAMAS

NABLUS - Seramai 5 penduduk Palestin dari kampung Talfit di Wilayah Nablus, utara Tebing Barat telah ditangkap tentera rejim zionis awal pagi tadi.

Sumber tempat menjelaskan, sepasukan tentera rejim zionis yang merempuh masuk ke kampung Talfit pada malam semalam turut menggeledah beberapa buah rumah serta merosakkan perkakasan. Menjelang beberapa jam sebelum subuh, rejim zionis berundur keluar dari kampung berkenaan setelah menangkap penduduk Palestin, Hasan Farj, Aisar Shahin, Ayub Muslim, Yunus Mahmoud, dan Rasma Shahin.

Sehingga kini, lebih 7000 penduduk Palestin meringkuk dalam penjara zionis setelahmana operasi penangkapan dilancarkan tanpa henti di Tebing Barat.

7 HAMAS ditangkap

Sementara itu, gerakan HAMAS(حركة المقاومة الإسلامية) dalam keterangan yang disampaikan kepada aegnsi 'Safa' hari ini, mendakwa Pihak Keselamatan Palestin di Tebing Barat telah menangkap 7 anggotanya di beberapa buah wilayah; Khalil, Nablus, Qalqiliah dan Bet Lehem. Sumber 27/09/2010, web berita safa.p

Ceroboh dan operasi 'mengesan' di Gaza

KHAN YUNUS - Sumber melaporkan, jentera perang rejim zionis telah menceroboh ke dalam kawasan tanah penduduk Palestin pagi tadi di kawasan Al-Qararah dan menuju ke kawasan Al-Farahain, timur bandar Khan Yunus, selatan Semenanjung Gaza.

Jelas wartawan agensi berita 'Safa' yang menukilkan dari saksi kejadian berkata, sebanyak empat buah kereta kebal dan dua buah jentolak zionis menceroboh sejauh 250 meter ke dalam kawasan tanah penduduk Gaza yang berhadapan dengan garisan sempadan.

Ketika menceroboh, jentolak zionis meratakan tanah pertanian dari garisan sempadan dengan jarak yang lebih meluas, bermula dari pintu gerbang As-Suraij, tenggara bandar Khan Yunus melewati Al-Farahain di daerah Bani Suheila. Sambil itu, tentera rejim zionis turut menjalankan operasi mengesan di kawasan terbabit.

Tembak ke arah rumah penduduk

Kejadian lain yang dilaporkan, saksi berkata, tentera rejim zionis yang berpengkalan di pos tentera Abu sofiah melepaskan tembakan secara rambang ke arah beberapa buah penduduk Gaza di Mukhayyam Al-Maghazi, pertengahan Semenanjung Gaza.

Sumber menyebut, tiada laporan mengenai luka parah atau kecederaan yang diterima dari pihak hospital.

Sejak dari akhir perang yang lepas, tentera rejim zionis memberi peringatan kepada penduduk Palestin di Gaza agar tidak mendekati 300 meter dari garisan sempadan. Kawasan tersebut dikatakan sebagai zon tentera, malah sesiapa yang melanggar peringatan itu akan diancam. Sumber 27/09/2010, web berita safa.ps

Pertempuran di Al-Quds meletus lagi

AL-QUDS, - Pertempuran sengit antara pemuda-pemuda Palestin meletus lagi malam ini dengan tentera rejim zionis di beberapa buah lokasi di bandar Al-Quds. Sehingga kini, pertempuran itu mengakibatkan beberapa penduduk Palestin mengalami kecederaan setelah tentera zionis menghujani tembakan dan bom gas pemedih mata.

Pengerusi Media Al-Quds, Muhammad Sadiq berkata, pertempuran yang meletus tertumpu di Silwan, Isawiyah, perumahan Rasul Amud, Thur, Sowanah, Thauri dan Mukhayyam Shu'fat.

Sadiq menjelaskan, pemuda-pemuda Palestin menghadang kemaraan tentera rejim zionis dengan batu dan botol kaca, sementara itu, pasukan perubatan mengalami kesulitan untuk tiba di lokasi pertempuran.

Seperti yang dimaklumkan, antara mangsa dikalangan penduduk Palestin yang mengalami luka parah adalah Haniyyeh Audah dalam lingkungan 70an. Mangsa disifatkan kritikal setelahmana tentera rejim zionis melempar sound-bom yang meletup dihadapannya. Haniyyeh Audah adalah ibu mertua kepada As-syahid Samir Sarhan yang menjadi mangsa tembakan pendatang haram Israel pagi Jumaat lalu.

Tambah Sadiq, beratus-ratus tentera rejim zionis yang disokong beberapa buah helikopter sedang mengepung Silwan masa ini. Beliau mengingatkan, hal sedemikian adalah permulaan untuk merempuh masuk ke perumahan Palestin yang menggunakan kekerasan dan tidak dapat jangka kesannya.

Sebagaimana yang dijelaskan, tentera rejim zionis berundur dari keseluruhan perumahan Palestin di Al-Quds awal pagi secara mengejut. Selepas itu, keadaan kembali pulih. Sumber 25/09/2010, web berita safa.ps

Washington bantah pembaikan Palestin

Presiden Palestin yang telah tamat tempoh menurut HAMAS, Mahmoud Abbas mengakui bahawa Amerika Syarikat(US) membantah pihak Palestin menurunkan tandatangan ke atas dokumen pembaikan dalaman Palestin yang dikemukakan oleh Mesir. Jelas Abbas, US sendiri mempertikaikan gerakan FATAH(حركة التحرير الوطني الفلسطيني) yang telah menurunkan tandangan untuk bersama-sama dengan gerakan HAMAS(حركة المقاومة الإسلامية).

Abbas berkata sedemikian ketika menyampaikan ucapan dalam satu pertemuan dengan komuniti penduduk Palestin di New York, US.

Agensi berita rasmi Pemerintah Palestin Ramallah iaitu 'Wafa' menerbitkan laporan mengenai gerakan FATAH yang telah menandatangani dokumen Mesir meskipun dibantah oleh US.

Kenyataan Abbas itu serentak dengan pertemuan pemimpin FATAH dan HAMAS di Damshik, Syria malam semalam.

"Jikalau HAMAS telah tandatangani dokumen pembaikan Mesir, sudah pasti kami telah membentuk Kerajaan Perpaduan. Dengan itu, kami telah dapat melaksanakan dua tindakan, iaitu memperolehi sejumlah bantuan yang diperakui dalam Persidangan Sharm El-Sheikh, kemudian Kerajaan Perpaduan ini akan mengadakan pilihanraya parlimen dan Presiden bahkan perselisihan yang berlaku seperti sekarang dapat diselesaikan," kata Abbas.

FATAH bertemu HAMAS di Damshik

Gambar(safa): Anggota-anggota Biro Politik HAMAS di sebelah kanan dan delegasi FATAH di kiri.

Semalam, gerakan HAMAS yang diketuai Ketua Biro Politiknya, Khaled Mashal telah mengadakan pertemuan ramah mesra dengan delegasi FATAH diketuai Azzam Ahmad. Kedua-dua pihak telah bersetuju pertemuan sebegitu untuk menyelesaikan beberapa permasalahan yang masih tergantung antara keduanya. Setelah pertemuan, kedua-dua pihak juga mengumumkan tercapainya beberapa langkah ke arah pembaikan dalaman Palestin.

Menurut pengumuman yang disampaikan Musa Abu Marzouk, Timbalan Ketua Biro Politik HAMAS bahawa kedua-dua gerakan itu telah bersepakat dari beberapa titik pertelingkahan yang menimbulkan perselisihan antara HAMAS dan FATAH. Dalam pertemuan yang terdekat pada masa akan datang, kedua-dua pihak akan membincangkan lagi permasalahan yang masih berbaki untuk mencapai persefahaman bersama sehingga menemui penyelesaian akhir dengan kesemua kumpulan-kumpulan pembebasan Palestin serta parti-parti politik.

Abu Marzouk menyebut lagi, pihaknya turut bersetuju untuk ke Kaherah bagi menanda tangani dokumen Mesir sambil mengungkapkan persefahaman ini adalah sebahagian dari komitmen yang tidak boleh dipisahkan perlaksanaannya dari dokumen Mesir serta mengakhiri persengketaan.

Sementara itu, laporan dari berita Al-Jazeerah yang menukilkan kata-kata Azzam Ahmad bahawa pertemuan ini adalah langkah permulaan bagi menyelesaikan pertikaian antara kedua-dua belah pihak. Beliau menolak dari menerangkan terperinci mengenai perbincangan yang mencapai persefahaman antara delegasinya dengan gerakan HAMAS.

Lapor dari agensi berita 'Safa' bahawa salah seorang pemimpin gerakan HAMAS di Gaza, Salah Bardawil mendedahkan pertemuan selanjutnya akan diadakan pada minggu akan datang.

Beliau menjelaskan, pertemuan tersebut adalah untuk membincangkan persefahaman yang dicapai antara kedua belah pihak dalam pertemuan semalam di Syria.

Pertemuan HAMAS dan FATAH berikutan dari pertemuan yang telah diadakan antara Omar Sulaiman, Ketua Bahagian Perisikan Mesir dengan Khaled Mashal di Arab Saudi. Sumber 25/09/2010, web berita Al-Jazeerah, web berita safa.ps dan berita Al-Jazeerah

UMNO Lebih Teruk Tanpa PAS , Prinsip Islam - Asri

Umno Tidak Beli Undi?

Sabtu, 18 September 2010

USTAZ KAMAL DARI MIC DIDAKWA MASUK MASJID



Ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad menyifatkan Umno tanpa syak lagi "berkura-kura", berpura-pura dan memutarbelitkan fakta berhubung isu bukan Islam dibenarkan memasuki surau dan masjid.

Beliau yang juga anggota biro politik PAS juga malah mendakwa pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) pula terus menjadi "kesinambungan wadah kepuraan Umno dalam bersandiwara"

Menulis dalam blognya hari ini, Khalid memuatkan kembali beberapa keping gambar, antaranya menunjukkan pemimpin Umno memberikan 'tazkirah'.

Terdapat juga gambar Kamalanathan - yang didakwanya digelar 'Ustaz Kamal' oleh perayu undi Umno semasa kempen pilihan raya kecil lalu - menyampaikan sumbangan dalam sebuah masjid. - Malaysiakini

TAKZIAH DARI TUAN GURU MENTERI BESAR KELANTAN UNTUK KELUARGA DATUK SOSILAWATI



1. Saya mengucapkan takizah kepada keluarga Allahyarham Datuk Sosialawati Lawiya, jutawan kosmetik yang telah dibunuh dengan kejam bersama pemandu, pegawai bank dan peguamnya. Dari jauh, saya harapkan supaya keluarga mereka semua dapat bersabar dengan ujian Allah SWT ini ditambah pula ia berlaku pada saat umat Islam sedang bersedia m
enyambut Hari Raya Idulfitiri.

2. Sesungguhnya, tidak ada sesiapa yang boleh menerima perbuatan seorang manusia boleh membunuh orang lain kerana nyawa seorang manusia itu tidak dimiliki oleh sesiapa pun hatta dirinya sendiri. Justeru, Islam melarang membunuh diri kerana nyawa bukan milik manusia. Perbuatan sekejam ini berpunca daripada tidak wujudnya rasa malu dan aib di hati pembunuh. Sedangkan perasaan malu dan aib inilah yang merupakan jentera keselamatan yang boleh mengawal diri manusia daripada melakukan perkara-perkara yang mendatangkan mudharat samada kepada diri atau orang lain. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud, “Apabila kamu tidak malu, buatlah apa yang kamu kehendaki” – hadis riwayat Imam Bukhari.

3. Selain itu, saya menggesa kepada pihak pimpinan negara untuk sentiasa menghebahkan peringatan agar rakyat bertaqwa dan gerun kepada Allah SWT. Perlu diingatkan sentiasa agar rakyat merasa gerun dengan azab kubur dan siksa api neraka. Tanpa peringatan-peringatan seperti ini, tidak ada penghalang yang boleh mendinding manusia dari melakukan jenayah. Hasilnya, kita mendengar kes-kes pembunuhan kejam berlaku sepanjang masa tanpa mengira bangsa dan agama.

4. Sayang sekali apabila tugas memperingatkan manusia agar bertaqwa kepada Allah SWT ini hanya diserahkan kepada imam dan lebai sahaja. Seolah-olah persoalan iman dan taqwa ini hanya boleh disebut di mimbar masjid. Inilah benih yang dituai oleh sekular sekian lama dan kini menampakkan hasilnya. Masyarakat diulit dengan demokrasi yang tidak pernah menyebut persoalan iman di dalam sukatan pengajiannya. Apabila iman tidak diperkenalkan, lahirlah generasi kepimpinan yang langsung tidak pernah tertarik untuk mengajak rakyat untuk beriman. Natijahnya, terbentuklah suasana yang kita saksikan pada hari ini.

5. Jauh berbeza dengan Rasulullah SAW sebagai Perdana Menteri pertama negara Islam Madinah. Baginda mengulang sebut peringatan agar beriman dan bertaqwa kepada Allah SWT di dalam setiap ucapannya kepada rakyat. Iman selaku kembar siam kepada Islam itulah penghalang yang paling teguh daripada melakukan jenayah. Pemimpin negara ini adalah orang Islam, justeru individu yang sangat perlu dicontohi ketika memimpin ialah Rasulullah SAW.

6. Saya yakin, jika inilah yang dititikberatkan oleh kepimpinan negara, insya-allah akan berputik rasa gerun dan takut kepada Allah SWT di hati rakyat. Bukan gerun dan takut kepada undang-undang yang dibuat oleh manusia sahaja. Keberkatan dan pencegahan yang datangnya daripada Allah SWT inilah yang akan menjamin kesejahteraan manusia tidak mengira agama apa yang dianuti.

Salam takziah dari saya.

NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
6 Syawwal 1431H / 15 September 2010
Pejabat Menteri Besar Kelantan.

Rabu, 15 September 2010

Terkini: F-16 zionis bedil selatan Gaza

Gambar(arkib): Kesan kehancuran sebuah terowong bawah tanah akibat serangan pesawat rejim zionis di Rafah, selatan Gaza.

RAFAH - Seperti yang dijangka, rejim zionis telah membedil garisan sempadan yang menghubungkan antara selatan Gaza dengan tanah Mesir sebentar tadi. Serangan ini tertumpu di kawasan terowong bawah tanah.

Sumber melaporkan pada jam 02.10 petang, waktu Palestin, pesawat tempur F-16 zionis melancarkan dua serangan misil ke kawasan terowong bawah tanah berhampiran gerbang Salahuddin, Rafah, Selatan Semenanjung Gaza.

Sebelum itu, media Israel 'Yediot Ahronot' pada jam 01.58 petang, waktu Palestin, sebuah kawasan penempatan haramnya 'Ushkul' di barat Naqab(Negev) menerima dua serangan roket jenis 'hawn'.

Menurut saksi kepada agensi berita 'Safa' dalam laporan terkini pada jam 02.17 petang, waktu Palestin, beberapa mangsa dikalangan penduduk Palestin Gaza mengalami luka parah dalam pengeboman rejim zionis di kawasan terowong bawah tanah. Jelas sumber, seorang mangsa serangan misil F-16 zionis telah syahid.

Pemberita Al-Jazeerah di Gaza, Tameer Mashal melaporkan, mangsa yang syahid dan 2 lagi yang mengalami kecederaan telah dibawa ke hospital Abu Yusuf An-Najjar. Namun kedengaran desas-desus bahawa masih lagi mangsa yang luka parah dalam pengeboman tersebut.

Sumber perubatan berkata, mangsa yang syahid, Wajdi Jihad Al-Qhadhi, 21 berasal bandar Rafah dan jenazahnya tiba ke hospital dalam keadaan rentung.

Al-Jazeerah menyatakan, sejak kebelakangan ini pesawat-pesawat Israel, helikopter dan pesawat tanpa pemandu kerap meninjau di ruang udara Gaza. Tambahan pula, sebelum dan semasa rundingan damai yang berlangsung antara pihak Palestin Ramallah dengan penjajah. Dalam masa yang sama, pejuang-pejuang Palestin terus meningkatkan serangan roket ke tanah-tanah rampasan Israel. Sumber 15/09/2010, web berita safa.ps dan berita Al-Jazeerah

Keselamatan Mesir berundur dari garisan sempadan

RAFAH - Pihak Keselamatan Mesir telah mengarahkan kepada anggota-anggota keselamatannya yang berada di sepanjang sempadan antara Mesir dengan bandar Rafah di selatan Gaza supaya berundur 300 meter ke belakang berikutan adanya amaran serangan rejim zionis yang dijangka berlaku.

Sumber peta, goolge map. Garisan merah adalah garisan sempadan yang memisahkan tanah Mesir dengan Semenanjung Gaza.

Menurut wakil pemberita 'Safa' di Rafah, Pihak Keselamatan Mesir turut meminta Pasukan Keamanan Palestin mengosongkan lokasi-lokasi kawalan di kawasan berkenaan. Manakala, bulantan biru kecil adalah terminal Karem Abu Salem untuk pemunggahan barang-barang dan laluan perlintasan antara Gaza dengan tanah Palestin jajahan 1948.

Dalam masa yang sama, para pekerja dan pedagang di terowong-terowong bawah tanah turut mengosongkan lokasi kedudukan mereka khuatir dengan serangan zionis.

Keadaan genting ini berikutan sebagai waspada setelahmana pejuang-pejuang Palestin melancarkan beberapa serangan roket dan mortar ke arah penempatan-penempatan haram Israel yang kedudukannya setentang dengan Semenanjung Gaza pagi tadi. Namun, serangan pejuang Palestin tidak mengakibatkan sebarang luka parah atau kerosakan harta benda. Sumber 15/09/2010, web berita safa.ps

Keselamatan Palestin tangkap 60 anggota HAMAS

TEBING BARAT - Gerakan HAMAS(حركة المقاومة الإسلامية) berkata, Pihak Keselamatan Palestin telah meningkatkan operasinya dengan menangkap lebih 60 anggota HAMAS di keseluruhan Wilayah di Tebing Barat.

Dalam kenyataan rasmi yang disampaikan kepada agensi berita 'Safa' hari ini, HAMAS berkata, Pihak keselamatan Palestin telah melancarkan operasi tangkapan ke atas 23 anggotanya di Wilayah Khalil. Malah, dalam sejumlah yang ramai lagi dipanggil lapor diri.

Sehingga kini, HAMAS menjelaskan, Pihak Keselamatan Palestin telah menangkap 13 anggotanya termasuk pemimpin di Sulfit, 11 dari Tulkarm, seorang dari Tubas, sementara itu, 8 lagi ditangkap di Bet Lehem, seorang dari Ramallah, manakala 2 lagi anggota HAMAS yang ditangkap dari Jenin.

Rejim zionis tangkap 13 Palestin

Sumber dari berita Al-Jazeerah melaporkan hari ini bahawa tentera rejim zionis telah menangkap 13 penduduk Palestin dalam operasi serbuan di beberapa buah wilayah di Tebing Barat. Sumber 15/09/2010, web berita safa.ps dan berita Al-Jazeerah

Pejuang hadang tentera rejim zionis

GAZA - Pengeboman zionis pada lewat petang tadi di Gaza turut diakui sebuah kumpulan pejuang Palestin, KATAIB MUQAWAMAH WATANIAH, sayap tentera BARISAN DEMOKRASI yang terlibat dalam pertempuran sengit dengan tentera rejim zionis di kawasan Jahr El-Deik.

Dalam kenyataan rasmi KATAIB MUQAWAMAH berkata, para pejuangnya menghadang kemaraan sepasukan tentera rejim zionis yang menceroboh ke dalam kawasan berkenaan dengan menghujani tembakan ke arah tentera rejim serta melancarkan roket jenis RPG.

Sumber dari agensi 'Safa' menjelaskan ketika kejadian, tentera rejim turut menembak ambulan yang berkejaran ke lokasi pertempuran untuk mencari mangsa pengeboman zionis di Jahr El-Deik. Sumber 14/09/2010, web berita safa.ps

Zionis bedil Gaza

Gambar(safa): Seorang penduduk Gaza yang mengalami luka parah akibat serangan zionis telah dibawa ke hospital.

GAZA - Sumber melaporkan pada petang ini, artileri rejim zionis telah mengebom kawasan pelupusan sampah yang terletak di tenggara Hayyu Zaitun dengan beberapa tembakan.

Penyelaras Media Perubatan, Adham Abu Salimah menyatakan kepada agensi berita 'Safa' bahawa seorang penduduk Gaza mengalami luka parah akibat serangan artileri zionis telah dibawa ke hospital Shifak.

Menurut saksi yang juga penduduk di kawasan berkenaan berkata, 'beberapa buah kereta kebal zionis yang berpengkalan sementara di garisan sempadan telah mengebom kawasan pertanian berhampiran tempat pelupusan sampah serta mengakibatkan letupan kuat.'

Saksi lain menjelaskan bahawa pejuang Palestin turut melancarkan serangan roket RPG ke arah kereta kebal. Namun sebentar tadi, beberapa buah pesawat rejim zionis, helikopter Apache dan pesawat tanpa pemandu berlegar-legar di ruang udara kawasan berkenaan. Kereta kebal rejim zionis turut dilaporkan menghujani lokasi berkenaan dengan tembakan machine-gun.

Sehingga kini, pada jam 05.26 petang waktu Mesir, sumber safa melaporkan bilangan penduduk yang parah akibat serangan zionis meningkat kepada 4 orang mangsa. Sumber 14/09/2010, web berita safa.ps

Penurunan Kadar Jenayah Satu Retorik

1. Pertamanya saya mewakili seluruh warga Dewan Pemuda PAS mengutuk sekeras - kerasnya segala perbuatan jenayah kejam dan mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mangsa jenayah terbaru iaitu :

a. Ustazah Norliza Ishak 35, [ yang dibunuh kejam bersama anaknya Amirul Ayman 10, pada 3 Sept 2010 - Port Dickson ]

b. Datuk Sosilawati Lawiya 47, dan 3 mangsa yang lain [ juga dibunuh kejam setelah hilang sejak 30 Ogos 2010 - Kuala Lumpur ] .

c. Sebelum ini Mohamad Adam Muzaffar telah disembelih oleh bapanya [ Muhaimi Sautar 33, ] pada 24 Ogos 2010 - Kota Bharu .

d. Noraini Ahmad 20, dirogol dan dibunuh dengan kejam , ditemui dalam keadaan kepalanya cedera parah dan tangannya diikat dengan dawai pada 12 Ogos 2010 . - Sungai Petani .
Bold
e. Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan 8, dan Che Ku Zaimah Che Ku Awang 28, cedera parah dibahagian muka dan mata apabila disimbah cuka getah dalam satu kejadian amuk di Kampung Sekayu pada 15 August 2010 . - Hulu Terengganu .

f. Ilya Nabilah Rosnata 19 ditemui mati dirogol dan dibunuh dengan kejam dengan kesan tikaman pada bahagian dadanya , dipercayai telah dibunuh seminggu sebelum dijumpai terapung di Sungai Bagan dan tangannya diikat pada sebatang pokok 21 Julai 2010 lalu .- Pulai Chondong Machang.

g. Pengawal Keselamatan dibunuh dengan kejam dalam satu kejadian di Pekan Batu 9 . Mangsa dipercayai telah dilanggar terlebih dahulu dan kemudiannya tangan kirinya dipotong dengan sebilah parang pada 4 Julai 2010 .- Kajang

h. Amir Khan Abdullah @ Balwant Singh 53, ditemui mati berlumuran darah dengan tujuh tikaman di kepala sehingga terkeluar otaknya dan tiga tikaman di dada kiri di atas tilam dalam sebuah bilik di rumahnya pada 1 Julai 2010 . - Selayang .

i. Siya Pandian Ketua Pemuda Dewan Himpunan Penyokong PAS Perak mati ditembak di bahagian kepala dan dadanya dihadapan kedai mencuci kereta miliknya pada 15 Mac 2010 di Langkap Teluk Intan Perak .

j. K. Haresarren 18 bulan mati selepas mengalami keretakan tulang rusuk , hatinya pecah dan lebam di seluruh tubuh kerana didera teruk pada 3 Mac 2010 . Petaling Jaya sebelum itu pada 25 February 2010 , Syafiah Humairah 3, mati dipukul , disepak dan dipijak . - Shah Alam

k. Atan Daud 90, Sutiah Katas 80, Ismail Awang 76, dan Siti Khatijah Ismail 22 ditemui terbunuh dengan begitu kejam pada 5 January 2010 . - Gemencheh

2. Saya hanya membawakan 10 kes jenayah kejam dari ratusan kes kejadian jenayah dalam negara kita sejak awal tahun ini . Bermula dengan satu tragedi pembunuhan 4 anggota keluarga di Gemencheh January lalu , kini negara gempar lagi dengan pembunuhan kejam ke atas Datuk Sosilawati dan 3 lagi mangsa yang merupakan pembantu beliau .

3. Program Transformasi Kerajaan [GTP] yang diperkenalkan April tahun lepas oleh YAB Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dilaporkan kononnya telah mencapai hasil signifikan menerusi pelbagai inisiatif Bidang Keberhasilan Utama negara [ NKRA ] .

4. Alex Iskandar Liew [ Pengarah Komunikasi GTP di Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan ( PEMANDU ) di Jabatan Perdana Menteri ] menjelaskan bahawa indeks jenayah keseluruhan pada januari hingga ogos telah menurun 16.24 peratus .

5. Melihat kepada perkembangan mutaakhir betapa sadisnya jenayah yang berlaku membuatkan semua pihak kembali ragu terhadap dakwaan kononnya indeks jenayah telah menurun . Sebaliknya rata - rata melihat Malaysia merupakan sebuah negara yang berdepan dengan ancaman nilai keamanan dan keselamatan .

6. Setiap hari akan ada sahaja jenayah dilaporkan berlaku di seluruh negara oleh media massa. Bahkan jenayah tidak lagi dihitung dengan kadar berapa kali kejadiannya setahun , sebulan dan sehari , tetapi kini dihitung mengikut kadar jam , minit dan saat .

7. Saya percaya semua pihak bertanggungjawab terhadap usaha membenteras jenayah , namun kerajaan adalah pemegang amanah untuk meletakkan rakyat dan negara dalam keadaan selamat , aman dan sejahtera . Rakyat tidak boleh dikaburi dengan kenyataan - kenyataan hipokrit dan bersifat retorika politik semata - mata .

8. Pencapaian NKRA dilihat sangat tidak meyakinkan . Malah negara masih subur dengan elemen - elemen yang mempunyai potensi besar untuk mendorong berlakunya satu - satu jenayah . Sementelah pula langkah pencegahan masih bersifat melepaskan batuk ditangga. ianya tidak dilakukan secara serius.

- [ samalah seperti mencetak kata - kata amaran dan gambar penyakit yang menjadi akibat ketagihan rokok di kotak rokok dan kemudiannya dibenarkan ia dijual kepada orang ramai. ]

- [ samalah juga tindakan kerajaan mengeluarkan lesen untuk operasi hiburan atau kelab malam dan penjualan kondom serta minuman beralkohol di kawasan majoriti muslim kemudian kerajaan yang sama pula melantik pencegah maksiat supaya menghalang dan menangkap orang yang melakukan maksiat .]

9. Kedua - dua nota di atas memperlihatkan kepada kita betapa tidak seriusnya kerajaan menangani pertumbuhan indeks jenayah dan mungkar dalam negara kita lantaran mereka berpeluang membuat keuntungan di sebaliknya . Fenomena ini sangat dikesali dan ia sekali - kali tidak akan dapat membebaskan negara dari belenggu jenayah jika inilah sikap yang ada pada kerajaan .

10. Sekadar mengutuk sekeras - kerasnya segala jenayah yang berlaku tidak boleh merubah apa - apa kecuali satu tindakan berkesan dan bersepadu dengan gandingan semua pihak [ kerajaan dan rakyat ] dilakukan secara bijak demi masa depan negara . Dewan Pemuda PAS Pusat sekali lagi melihat Islam dan syariatnya adalah satu solusi tepat untuk menghindarkan negara dari badi jenayah yang semakin menular.

Kami juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan Tahniah kepada Tan Sri Ismail Omar yang telah dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang baru agar tan Sri ismail dapat berkhidmat dengan adil , telus , benar dan saksama serta cekap dan tegas membasmi rasuah dan jenayah dalam negara ini . Kes jenayah kejam yang menimpa Datuk Sosilawati menjadi kes high profile yang pertama mesti dihadapi oleh Ketua Polis Negara yang baru . Semoga berjaya dengan cahaya kebenaran dan petunjuk Ilahi .

Sumber : Episod Sebuah Perjuangan

Hanya dengan pedang dan perang - Komander AL-QASSAM

Laporan dari web rasmi pejabat penerangan KATAIB SYAHID IZZUDDIN AL-QASSAM, sayap tentera gerakan HAMAS telah menerbitkan ucapan komander tertinggi AL-QASSAM, Ahmad Al-Ja'bari yang berjanji bahawa jalan jihad sentiasa berterusan sebagai usaha memerangi para zionis sehinggalah tercapai janji-janji akhir, sama ada 'menang atau syahid'.

Komander tertinggi AL-QASSAM itu menyampaikan ucapan melalui sebuah risalah khas kepada para pejuang AL-QASSAM pada akhir bulan Ramadhan.


Gambar(arkib): Seorang pejuang AL-QASSAM dengan roket jenis 'AL-QASSAM'.

"..dengan pertarungan bersenjata dari roket, terowong dan *amaliah istisyhadiah bersandarkan kekuatan iman serta aqidah, Allah Ta'ala telah mengurniakan kita sejuzuk kemenangan ke atas tanah Palestin di Gaza setelahmana penjajah tewas dengan kekerasan..mudahan ia bertahan selamanya,"
tegas beliau.


Ahmad Al-Ja'bari turut mengecam rundingan damai secara bersemuka antara Palestin Ramallah dengan rejim zionis masa ini. Tegas beliau, zionis tidak akan menundukkan kepalanya melainkan dengan tetakkan pedang serta peluru malah zionis juga tidak akan mengaku kalah kecuali dengan bersemuka(perang) dan 'api'.

KATAIB AL-QASSAM menegaskan lagi keseluruhan tanah Palestin adalah tanah Islam, dari laut sehinggalah darat malah ibu kotanya Al-Quds yang kesemuanya mempunyai ikatan teguh sehingga hari kiamat.

Beliau menyimpulkan kata-katanya dengan sepotong ayat dari Al-Quran Al-Karim, surah at-taubah, ayat ke-111 yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah Ta'ala telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan(balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga", maka, kita semua sedang menempuh jalan ke Syurga dengan setinggi-tinggi pengorbanan dan penuh tabah.

Gambar(arkib): Salah satu unit pejuang AL-QASSAM ketika sesi latihan perang di Gaza tahun lalu.

"Sewajarnya kita mesti bersedia untuk menggapai kemenangan. Sesungguhnya kemenangan tidak akan hampir melainkan kepada mereka orang yang beriman berjuang dengan bersungguh-sungguh, dan tidak akan ada kegemilangan yang bermakna melainkan kepada mereka yang bekerja dengan penuh tabah," ujar Komander tertinggi kumpulan pejuang terbesar di Palestin. Sumber 14/09/2010, web rasmi KATAIB SYAHID IZZUDDIN AL-QASSAM

Bacaan lain:

1. 'Amaliah Istisyhadiah' pada pandangan ulamak dan fuqaha' mazhab

Maksud 'amaliah istisyhadiah'(bahasa arab), satu operasi yang dijalankan dengan tujuan untuk mendapatkan syahid dan ianya berbeza dari 'membunuh diri'. Selanjutnya rujuk Monograf Andalus II Tanta, cetakan pertama 2003.

Selasa, 7 September 2010

Sampul Duit Raya Berkubah Salib Gereja di Vatican City

Sampul Duit Raya Pertama


Sampul Duit Raya Kedua





Yang ini Kubah Gereja St. Da Villanova Bernini.

Yang ini pula kubah gereja di Russia. Sampul duit raya yang pertama ambil sample kubah dari gereja di Russia.

Kubah sampul surat ke 2 di ambil dari Gereja di Vatican City, Pusat Kristian Katolik yang utama di dunia. Kawasan Paul.

Sabtu, 4 September 2010

Al-Quds Sedunia Gabung Kumpulan Pembebasan Palestin Taut Umat Islam

GAZA - Beribu-ribu penduduk Palestin mengikuti satu perarakan raksasa di bandar Gaza hari ini. Perarakan yang diseru oleh semua kumpulan pembebasan Palestin(ada media menyebut kumpulan pemisah Palestin) diadakan selepas solat jumaat sempena hari Al-Quds sedunia.

Gambar(safa): Pemimpin kumpulan-kumpulan pembebasan Palestin di Gaza ketika perhimpunan selepas perarakan.

Sumber menyebut, penduduk Gaza yang mengikuti perarakan sambil mengibarkan bendera Palestin dan membawa sepanduk serta poster yang mengutuk
rundingan damai yang diadakan semula antara perunding Palestin dengan penjajah. Juga mengecam keselamatan Palestin memburu pejuang-pejuang Palestin di Tebing Barat.

Seorang pemimpin HAMAS, ahli parlimen, Ismail Ashqar yang menyampaikan ucapan sempena hari Al-Quds sedunia tegas memberi peringatan kepada Pihak Berkuasa Palestin di Tebing Barat yang memburu pejuang-pejuang AL-QASSAM kerana melancarkan operasi serangan ke atas warga Israel.

Gambar(arkib): Ismail Ashqar

Sempena Al-Quds sedunia, Ashqar menegaskan bahawa Palestin adalah tanah waqaf Islam yang dimiliki kesemua umat Islam dan tidak ada sesiapa yang berhak berkompromi sejengkal tanahnya malah tidak boleh dibahagi-bahagikan mahupun diabaikan atau disalahguna.

Beliau berkata, "Palestin adalah bumi Israk dan Mi'raj dan Al-Quds adalah pintu langit, umat Islam tidak ada nilai tanpa Al-Quds malah Palestin juga tidak akan ada nilai tanpa Al-Aqsa."

Dari sudut lain, seorang pemimpin gerakan JIHAD ISLAMI, Khaled Al-Battash menyatakan amat perlu memberi sokongan kepada penduduk asal di Al-Quds(Palestin) bagi memenuhi tuntutan keperluan mereka dari sudut pendidikan dan berdiri kukuh hadapi tentangan.

Khaled dalam ucapannya menggesa agar diperluaskan hak pemeliharaan ke atas Palestin, lantaran Liga Arab tidak lagi mampu memelihara dan sewajarnya digabungkan Negara-negara Islam yang lain seperti Turki dan Iran sebagai hak pemelihara hal yang berkaitan Palestin.

Al-Quds di Lubnan

Sementara itu, demontrasi dan perarakan Al-Quds sedunia turut berlangsung di Beirut, Lubnan. Dengan persefahaman yang sama, demontrasi di Lubnan turut mengecam rundingan damai yang telah diadakan semula malah turut menuntut jalan penentangan sebagai satu-satunya pilihan bagi memelihara Al-Quds dan Palestin.

Mukhayyam Yarmouk

Tidak ketinggalan, demontrasi sempadan Al-Quds sedunia yang diadakan di Mukhayyam Yarmouk, selatan ibukota Syria disertai puluhan ribu rakyat.

Para penunjuk perasaan membawa bendera kumpulan-kumpulan pembebasan Palestin dan HIZBULLAH Lubnan malah turut ada beberapa sepanduk yang mengecam keras rundingan damai secara bersemuka antara perunding Palestin dengan Israel.

Mereka turut mendesak agar berpegang teguh dengan hak-hak Palestin dan mesti menyatukan pendirian Arab bersama Negara Islam yang lain untuk mempertahankan Masjid Al-Aqsa dan Al-Quds.

Semasa perarakan, para penunjuk perasaan mengecam keras penjajah yang menentang kesucian Palestin dan masyarakat Palestin, khususnya tindakan peyahudian ke atas bandar Al-Quds serta merosakkan Masjid Al-Aqsa.

Demontrasi besar-besaran menggesa supaya menentang penjajah sehingga keseluruhan tanah Palestin terbebas.

Iran sambut Al-Quds sedunia

Menurut berita Al-Jazeerah, beberapa buah bandar di Iran turut menyambut hari Al-Quds sedunia.

Menukil dari media Iran menyebut bahawa puluhan ribu penduduk Iran menyertai perarakan bagi mengungkapkan sokongan mereka kepada Palestin yang pembebasan tanah-tanah Palestin dari cengkaman penjajah.

Presiden Iran, Mahmoud Ahmadi Najad dalam ucapannya menyifatkan rundingan damai yang diadakan semula antara perunding Palestin dengan Israel hanya melahirkan 'bangkai'.

Tambah beliau, untuk menentukan nasib dan masa depan Palestin bukannya melalui dialog atau rundingan, akan tetapi melalui penentangan(al-muqawah). Sumber 03/09/2010, web berita safa.ps, berita Al-Jazeerah dan web berita Al-Jazeerah

Lagi 7 Anggota Kami Ditangkap - HAMAS

RAMALLAH - Gerakan HAMAS (حركة المقاومة الإسلامية) berkata, Pihak Keselamatan Palestin daerah Sulfit telah menyerbu masuk ke kampung مردة. Dalam serbuan ini, 7 anggota HAMAS ditangkap. Ketika operasi serbuan, sumber menyebut beberapa buah jip tentera penjajah(Israel) berada di satu-satunya jalan pintu masuk ke kampung itu.

Keterangan HAMAS yang disampaikan kepada agensi 'Safa' hari ini menjelaskan bahawa serbuan Pihak Keselamatan Palestin ke kampung مردة setelahmana tentera penjajah terlebih dahulu merempuh masuk ke kampung berkenaan ekoran seorang warga Israel tercedera setelah kereta yang dinaikinya dilontar dengan batu sewaktu melalui sebatang jalan yang berdekatan kampung مردة.

Menurut keterangan HAMAS, sebaik sahaja tentera penjajah beredar dari kampung itu, Pihak Keselamatan Palestin terus menyerbu masuk serta menangkap Nail Ahmad Qafsh, ahmad Rasmi Qafsh, Qatibah Ahmad Qafsh, Adil Hasan Mazid, Husam Waseef Sulaiman, Muhammad Ahmad Qafsh dan Nabhan Ahmad Sulaiman.

Kesemua anggota HAMAS yang ditangkap ini pernah ditahan sebelum ini oleh Pihak Berkuasa Palestin Tebing Barat.

Berikutan kejadian yang berlaku, gerakan HAMAS mendakwa Pihak Berkuasa Palestin telah menangkap tidak lebih dari 600 anggotanya yang terdiri dari pemimpin dan penyokongnya sejak hari selasa lalu selepas serangan 'banjir api'.

KATAIB SYAHID IZZUDDIN AL-QASSAM, sayap tentera HAMAS melancarkan serangan tersebut di Khalil yang membunuh 4 warga Israel. Sumber 03/09/2010,[03.37 petang Palestin] web berita safa.ps

Rejim Zionis Tutup Laluan, Maghribi Sertai Lifeline 5

GAZA - Pihak berkuasa rejim zionis menutup laluan yang dikhususkan kemasukan barang perdagangan ke Gaza. Kesan dari itu, tidak ada sebarang kemasukan bantuan-bantuan dan bahan-bahan tenaga ke Gaza pada hari ini dan esok hari.

Kebiasaannya, rejim zionis akan menutup laluan secara penuh pada hari jumaat dan sabtu setiap minggu dan dibuka semula pada hari ahad.

Berikutan itu, buka dan tutup laluan ini juga termasuk dalam sekatan ketat yang dikenakan ke atas Semenanjung Gaza sejak empat tahun yang lalu. Barang-barang bantuan dan kegunaan dibenarkan masuk tetapi hanya sebahagian sahaja. Pun begitu, ia tidak mampu memenuhi keperluan penduduk Palestin di Gaza.

Sementara itu, sebuah kumpulan aktivis Maghribi yang membuat pengumuman untuk membantu Iraq dan Palestin akan menyertai konvoi Lifeline Antarabangsa. Konvoi tersebut akan bertolak beberapa minggu lagi ke Semenanjung Gaza sebagai sokongan kepada kecekalan penduduk Palestin yang hidup dalam kepungan.

Penyelaras kumpulan aktivis Maghribi, Khalid As-Sufyani berkata dalam sidang akhbar semalam, "penyertaan Maghribi bersama Yayasan-yayasan Bantuan dan kemasyarakatan serta individu-individu dari beberapa buah Negara adalah bertujuan mendokong usaha memecahkan sekatan zalim yang dikenakan ke atas Semenanjung Gaza. Selain itu, mahu menyalurkan bantuan kemanusiaan yang diperlukan penduduk Palestin di Gaza yang di sekat."

Tambah Khalid, "rombongan kali ini adalah yang kelima dan diadakan dengan kerjasama antara Pertubuhan Viva Palestina dan Panitia Antarabangsa pemecah sekatan. Misi perjalanan rombongan adalah untuk menyampaikan kepada dunia mengenai kesengsaraan penduduk Palestin berikutan sekatan zalim yang tidak berperikemanusiaan ke atas Gaza dan masih berterusan."

Kata beliau lagi, "pihak penganjur menetapkan konvoi ini akan melalui tiga penjuru jalan darat, iaitu sebelah Eropah yang bertolak menaiki kereta membawa bantuan serta delegasi-delegasi dari Britain menuju ke bandar Allaziqiah, Syria pada 18 September akan datang dan penjuru lain dari Maghribi dan Afrika, manakala penjuru ketiga dari teluk, Jordan dan Lubnan."

Sumber turut menyebut, pengasas Viva Palestina, ahli parlimen Britain, George Galloway yang menganjurkan konvoi Lifeline telah menggerakkan 4 buah konvoi darat besar-besaran ke Gaza sebelum ini melalui sempadan Rafah. Konvoi tersebut bagi menyampaikan bantuan kemanusiaan berbentuk makanan dan ubat-ubatan kepada penduduk Gaza yang dikepung. Sumber 03/09/2010, web berita safa.ps dan 02/09/2010, web berita safa.ps

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

JALINAN UKHUWAH


ShoutMix chat widget