ALOR SETAR, 19 Mei: "Ceramah 22 Mei bukan buli, itu kewajaran untuk memberikan penjelasan isu semasa," kata Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah, Ahmad Kassim (gambar) mengulas ceramah perdana bertajuk 'Dun Kedah bubar' di Markas PAS Kedah, Sabtu ini.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Pemuda Gerakan Kedah yang mendakwa PAS membuli rakan-rakannya dalam PKR dan DAP dan memaksa mereka datang ke majlis ceramah perdana itu.
Ceramah itu diadakan untuk merungkaikan salah faham rakyat kononnya kerajaan Pakatan Rakyat Kedah akan tumbang apabila empat Adun yang bukan PAS akan meninggalkannya.
Ekoran itu, bagi menolak keraguan itu, ke empat-empat mereka akan tampil sendiri memberikan penjelasan di majlis yang bakal disertai puluhan ribu itu.
Sehubungan itu, Ahmad Kassim menyelar tindakan sesetengah pihak yang cuba memanipulasikan ceramah bertajuk 'Dun Kedah Bubar' yang akan diadakan pada 22 Mei nanti di Markas PAS, Kota Sarang Semut itu.
Menurut beliau lagi tindakan tersebut perlu dilakukan bagi memberi penjelasan sebenar kepada rakyat mengenai isu yang sedang dimainkan oleh pembangkang khususnya Umno dan Barisan Nasional (BN) di negeri Kedah.
"Adalah menjadi kebiasaan bagi pembangkang seperti Umno dan BN di negeri Kedah untuk membuat tuduhan yang negatif walaupun niat sebenar kita adalah untuk memberi penjelasan supaya rakyat faham mengenai kedudukan sebenar isu yang sedang dimainkan oleh pembangkang.
"Kesediaan ketiga-tiga Exco Kerajaan Negeri Kedah dari PKR dan Adun Kota Darul Aman dari DAP untuk turun padang bersama-sama membuktikan kesepakatan yang ada dikalangan parti komponen dalam Pakatan Rakyat(PR).
"Ianya juga bukanlah satu tindakan tidak wajar sepertimana yang didakwa oleh Umno dan BN Negeri Kedah,"kata Ahmad yang juga anggota Parlimen Kuala Kedah.
Bagi beliau, dakwaan tidak matang yang dilemparkan oleh kepimpinan Umno dan BN ini juga bertujuan untuk memperkecilkan hasrat Kerajaan Negeri yang diterajui oleh Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak untuk memberi penjelasan dan isu sebenar yang berbangkit mengenai pentadbiran negeri kepada rakyat.
Perang saraf Umno
Sementara itu, usaha untuk meragukan antara satu sama lain di kalangan wakil rakyat Pakatan Rakyat di Kedah berterusan sehingga kini selepas berjaya membawa Adun Lunas, Mohd Radhi Salleh, ke pangkuan BN.
Setiausaha Politik MB Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor (gambar) dalam tulisannya berkata, perang saraf BN dan Umno melalui plot Wakil Rakyat melompat meninggalkan PR dan menukar kerajaan di Kedah nampaknya berjaya menimbulkan keresahan di kalangan rakyat yang peduli politik dan penjawat awam.
Ini adalah eksesais baru untuk membina suasana haram yang terpaksa diterima sebagai halal jika ia benar-benar berlaku.
"Ini sebahagian ciptaan APCO yang dilantik sebagai konsultant 1Malaysia BN/UMNO. Kalau nak 1Malaysia, takkan Kedah depa tak mau ambik kot?" tulis Sanusi.
"Saya nampak eksesais ini adalah turutan (flow) yang dikembangbiak daripada isu soalan Dewan Undangan Negeri tempoh hari," tulisnya.
Pergerakan isu ini juga mempunyai carta aliran yang mencakupi banyak skop lain termasuk gerak saraf di kalangan pegawai tadbir, keselamatan, pelabur dan ahli perniagaan.
Ia akan terus dipanaskan dari masa ke semasa, sehingga ada tindak balas yang mereka mahukan, katanya.
Bagi beliau, ceramah pada 22 Mei nanti bukanlah respon yang diingini. Ceramah tersebut boleh menutup plot lompat selama-lamanya, katanya.
Sebab itu, katanya, Ketua Pemuda Gerakan yang kerjanya membuat sidang akhbar dan menulis memorandum 'yang ketinggalan keretapi' menyampuk dan campurtangan dalam parti orang lain.
"Katanya Adun-Adun PKR dibuli oleh PAS. Dia mahu Adun-adun PKR jangan pergi berceramah malam itu. Statement ini serentak dengan kenyatan Chong It Chiew yang berkata pelabur lari dari Kedah," beritahu Sanusi.
Sanusi berkata, seorang rakannya menelefon beliau memaklumkan dia menerima maklumat daripada kawannya seorang anggota keselamatan bahawa pihak BN sedang memasang banner di sekitar Alor Setar mendakwa DUN Kedah akan dibubarkan.
"Saya tidak pelik kerana memang kerja depa untuk mengkucar kacirkan kerajaan. Bila ada penafian dari pimpinan UMNO/BN tentang kerja buat depa menjatuhkan kerajaan melalui usaha pembelian kerusi, ia wajib dibaca sebaliknya. Pengalaman lalu mengajar kita bacaan terbalik ini," tulis Sanusi lagi.
Perangkap Adun
Sanusi turut mencerita plot yang dibuat untuk memerangkap seorang Adun Pakatan Rakyat agar beliau diragui.
"Satu peristiwa baru dalam plot ini ialah perangkap yang dibuat oleh Adun Bayu, Azmi Che Hussein terhadap Adun Kulim (Lim Soo Nee) selepas sidang DUN baru-baru ini. Dia mengajak Adun itu ke Hotel Shamila dengan mendakwa Adun Bukit Selambau juga ikut serta, padahal Adun Bukit Selambau ada bersama saya ketika itu.
"Saya menerima maklumat dari informer tentang perjumpaan itu, dan saya memanggil Adun Kulim balik segera. Dia memaklumkan bahawa dia dimaklumkan Adun Bukit Selambau (S Manikumar) juga ada di sana, sebab itu dia pergi untuk membincangkan hal ehwal portfolionya dan pelancongan di Baling.
"Selepas beberapa ketika, dia pun pulang. Itu adalah perangkap untuk menimbulkan kecurigaan ataupun membuat 'dealing', Wallahu a'lam," tulis Sanusi.
Menurut Sanusi, Adun Bayu adalah bekas Pegawai Tugas-tugas Khas bekas MB Kedah, Datuk Seri Mahathir Khalid. Dia juga kerap mengadakan perjumpaan dengan YB Lunas sebelum Adun itu menjadi katak.
"Pada satu malam sebelum melompat, saya dimaklumkan dia membawa kereta rasmi exco KBN 333 ke rumah Adun Bayu. Apa yang dipersetujui dalam perjumpaan itu saya tak tahu.
"Selepas itu, bila tercetus kes pusat penyembelihan babi dirobohkan di Kampung Berjaya, YB Lunas pun melompat. Dia rebah bersama pusat penyembelihan itu. Masa ni APCO belum timbul, sebab itu beliau melompat kerana babi! Malu la juga kan?" tulis Sanusi.
Peranan Adun Bayu
Baru-baru ini, katanya, Adun Bayu juga membuat kenyataan diakhbar baru-baru ini bahawa kerajaan negeri kerugian RM200 juta dari pembalakan yang dilakukan di 400 hektar kawasan pembalakan yang salah kompartmen.
Katanya pembalakan diluluskan di kompatmen 9, tapi pokok ditebang di kompartmen 8. Oleh kerana itu, kerajaan menanggung kerugian RM200 juta di kawasan seluas 400 hektar itu.
"Saya ingin memaklumkan bahawa, pemberian kawasan pembalakan secara tander terbuka sekarang ini mendatangkan hasil kepada kerajaan sebanyak RM35 juta (harga paling tinggi ialah RM16 ribu sehektar), berbanding RM6 -RM10 juta (RM500-RM1000 sehektar) di zaman bosnya menjadi MB. Kuota penebangan di Kedah ialah 2,340 hektar setahun. Matematik sekolah mana yang dia belajar hingga kiraannya begitu baik, hingga memberi pulangan RM200 juta di kawasan seluas 400 hektar.
"Kalau dengan kiraan Adun Bayu, bermakna sehektar kawasan balak berharga RM50 ribu, bermakna zaman bosnya menjadi MB, kerajaan kerugian RM49 ribu sehektar. Kalau 2,340 hektar, kerajaan kerugian berapa? Minta dia tolong kirakan! Kalau begitu mahal kayu balak, mengapa zaman bosnya jadi MB, kerajaan cuma dapat RM6-RM10 juta?" tulisnya.
Sanusi yakin, ada lagi turutan (flow) dari isu-isu yang dicipta yang akan dimainkan oleh BN/UMNO Kedah untuk menggoncang kerajaan sekarang. Sebab itu, Umno, MCA dan Gerakan menyanyi lagu dan menari dalam rentak gendang yang sama dan serentak!
"Saya tidak percaya BN/Umno yang mendapat nasihat dari APCO yang menasihat regim-regim diktator seluruh dunia akan ketandusan akal untuk melawan PR di Kedah.
"Tapi kalau asyik mendapat nasihat daripada APCO, akal mereka sendiri akan mandul dan tandus. Sebab itu, matematik mudah dalam kes balak gagal diselesaikan dengan baik. Menarilah semua komponen BN dalam irama gendang APCO, kita tengok kaki sapa terpelecok!" tulisnya.
0 ulasan:
Catat Ulasan