KL.1 Mei 10: Kementerian Pengangkutan tidak bercadang memperkenalkan gerabak khas untuk penumpang wanita dalam perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) seperti mana yang dilakukan oleh perkhidmatan KTM Komuter, baru-baru ini.
Menterinya Datuk Seri Ong Tee Keat berkata langkah itu diambil memandangkan pihak pengurusan LRT lebih memfokuskan untuk memenuhi keperluan penumpang kerana faktor itu adalah lebih mendesak.
“Jika Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) lebih menumpukan kepada kehendak dan keselesaan pelanggan namun LRT pula lebih memberi tumpuan untuk memenuhi permintaan tanpa mengira jantina.”
“Bagaimanapun, ia terpulang kepada inisaitif pihak pengusaha sendiri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Karnival Kaunseling SPM dan STPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Pandan Mewah, di sini, hari ini.
Ong berkata buat masa ini sistem pengangkutan LRT lebih tertumpu untuk meningkatkan mutu perkhidmatan seperti mengurangkan masa menungggu bagi menampung jumlah penumpang yang ramai.
“Kita akan menambah 26 gerabak lagi untuk LRT menjelang tahun 2011 bagi mengurangkan masa menunggu dari 2.8 minit kepada dua minit sahaja memandangkan peningkatan pengguna LRT sebanyak tujuh peratus bagi laluan ke Kelana Jaya sejak tahun lepas,” katanya.
Mengenai perkhidmatan Bas Ekspres Transit (BET), Ong berkata kementerian akan merombak semula jadual perjalanan dari Seri Muda, Shah Alam ke Pasar Seni memandangkan laluan ke dua lokasi itu didapati masih mengalami kesesakan lalu lintas.
Sejak diperkenalkan pada 12 Jan lalu, sistem BET mempunyai empat laluan termasuk laluan dari Seri Muda, Shah Alam ke Pasar Seni, manakala laluan lain iaitu dari Sungai Long ke Pasar Seni, Subang Mewah ke Pasar Seni dan Kota Damansara ke Pasar Seni.
“Kita akan semak semula jadual perjalanan tersebut supaya ia tidak lalu ke kawasan sesak pada waktu puncak. Bagaimanapun perjalanan bagi tiga laluan ternyata dapat dikurangkan sebanyak 50 peratus,” katanya. — Bernama
0 ulasan:
Catat Ulasan